Sunday, August 29, 2010

Tips Balik Kampung

Assalamualaikum...

Hari ini sudah masuk 20 hari kita berpuasa. Tidak lama lagi kita akan berhari raya dan masing-masing membuat persediaan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Di sini saya ingin berkongsi bersama-sama tips balik kampung semoga perjalanan yang jauh dan sepanjang peninggalan rumah untuk pulang bercuti akhirnya tidak menjadi satu tragedi. Walaupun telah banyak kali diwawarkan dalam media massa tentang keselamatan semasa perjalanan namun kita sendiri masing-masing perlu mengambil inisiatif untuk kebaikan diri kita.

Antaranya ialah:
1. Pastikan dahulu keperluan untuk dibawa pulang tidak tertinggal. Oleh kerana perjalanan yang jauh, tidak berbaloi untuk kita pulang kembali mengambil barang yang tertinggal. Maka, sebaik-baiknya kita menyediakan satu 'checklist' supaya kita terlepas pandang.

2.Pastikan juga kenderaan kita berada di dalam keadaan memuaskan. Seelok-eloknya periksalah kereta terlebih dahulu dan pastikan tekanan angin tayar mencukupi. Harapan kita semoga perjalanan yang panjang itu tidak tergendala dengan kerosakan yang disebabkan oleh kecuaian kita.

3. Keselamatan rumah yang kita tinggalkan juga tidak boleh diabaikan. Pastikan tiada peralatan elektrik yang tidak ditutup dan pastikan juga rumah dikunci dengan sempurna. Maklumkan kepada jiran disebelah sekiranya jiran tidak balik kampung. Anda juga boleh memaklumkan kepada pihak polis berapa lama anda bercuti untuk memudahkan pihak polis memantau kawasan persekitaran. Pastikan juga pagar rumah dikunci.

4. Sebelum bertolak balik, pastikan kita berdoa dan memohon kepada Allah semoga perjalanan kita dan kenderaan kita selamat  semasa pergi dan pulang kembali.

gambar sekadar hiasan

5. Semasa memandu, jangan terlalu ghairah untuk sampai cepat. Pastikan peraturan lalulintas dipatuhi dan jangan memandu terlalu laju. Pastikan kenderaan yang dipandu di dalam kawalan kita. Sekiranya mengantuk, berhenti untuk berehat atau tidur seketika. Jangan mempertaruhkan nyawa kita dan keluarga. Ingatlah orang yang tersayang sedang menanti kepulangan anda.

6. Pilihlah jalan yang selamat untuk pulang ke kampung. Janganlah kita mengambil risiko semata-mata mahu menjimatkan sedikit minyak atau bayaran tol. Sekiranya hujan lebat, berhenti atau perlahankan kenderaan. Nyalakan juga lampu kenderaan atau lampu kecemasan.

7. Apabila sudah sampai ke destinasi, jangan lupa untuk mengucapkan syukur kerana telah sampai dengan selamat. Secanggih mana kenderaanpun tidak akan selamat sekiranya Allah tidak mengizinkan.

Akhir kata, ingatlah pepatah orang dulu-dulu. Biar lambat asal selamat. Semoga perjalanan kita diredhai oleh Allah dan saya mengucapkan selamat pulang bercuti dan selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment