Friday, September 28, 2012

Agih pendapatan 6.60 sen seunit

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) yang dimiliki penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit untuk Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2012.

Pengagihan pendapatan kali ketiga ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding 6.50 sen seunit tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan tersebut membabitkan pembayaran berjumlah RM459.86 juta, peningkatan sebanyak 49.1 peratus berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelum ini berjumlah RM308.40 juta.

Katanya, seramai 336,411 pemegang unit yang telah melanggan 8.02 bilion unit AS1M.

''Sehingga 25 September 2012, tabung AS1M telah memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM577.4 juta dengan pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM318.3 juta atau 55.1 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut.

''Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM158.1 juta atau 27.4 peratus, manakala selebihnya sebanyak RM101 juta atau 17.5 peratus diperoleh melalui pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan agihan pendapatan AS1M di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Tambah Ahmad Sarji, sepanjang tahun kewangan yang berakhir 30 September 2012 AS1M telah mencapai objektif pelaburannya melalui strategi pelaburan berhemat dan telah menjana pendapatan yang selaras dengan situasi pelaburan semasa.

''Pengiraan pengagihan pendapatan AS1M adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan tabung tersebut,'' katanya.

Pengagihan pendapatan AS1M akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Oktober 2012.

Semua urusniaga bagi AS1M ditangguhkan mulai 21 September sehingga 30 September bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.

Para pemegang unit saham boleh mengemaskini buku pelaburan AS1M mulai 1 Oktober 2012.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, mereka mengharapkan AS1M terus memberikan pulangan kompetitif berdasarkan prestasi pasaran.

Petikan: Utusan Online 28 September 2012

Monday, August 27, 2012

ASW 2020 Agih Pendapatan 6.60 Sen Seunit

Bayaran babitkan jumlah RM981.89j

Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2012. Kadar itu adalah lebih tinggi sedikit berbanding 6.50 sen seunit yang diagihkannya dalam tahun kewangan sebelumnya.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan bagi skim saham amanah berharga tetap bagi tahun kewangan dikaji itu membabitkan pembayaran berjumlah RM981.89 juta, naik sembilan peratus berbanding RM900.72 juta yang dibayar pada tahun kewangan sebelumnya.

Ia, katanya akan dinikmati 907,594 pemegang unit yang melanggan sejumlah 14.85 bilion unit dana amanah itu.

Beliau berkata, pengagihan pendapatan itu akan dibayar kepada pemegang unit dalam bentuk pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik dalam buku pelaburan mereka.

Kredit dalam akaun KWSP

Bagi pemegang unit yang melanggan menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, ia akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing.

“Semua urus niaga bagi ASW 2020 akan ditangguhkan bermula 24 Ogos sehingga 2 September ini bagi tujuan pengagihan pendapatan itu.

“Pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di ibu pejabat, pejabat atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 3 September ini,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan pengagihan pendapatan ASW 2020 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pendapatan kasar RM887.05j

Ahmad Sarji berkata, setakat 15 Ogos lalu, ASW 2020 memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM887.05 juta, dengan pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM666.55 juta atau 55.3 peratus.

Beliau berkata, keuntungan dari penjualan saham dalam syarikat pula menyumbang 27.7 peratus atau RM334.59 juta, manakala pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan menyumbang RM204.62 juta atau 17 peratus daripada jumlah pendapatan kasar terbabit.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB menjangkakan langganan lebih tinggi untuk unit saham amanahnya tahun ini daripada 17 bilion unit yang dilanggan tahun lalu.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan 12 bilion langganan unit baru yang sudah dicatatkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Sehingga Julai lalu, pelaburan melalui kempen ‘Labur oh Labur’ atau ‘Let’s Online’ menarik langganan sebanyak 270 juta unit, 281 juta unit pada 2011,” katanya.

Petikan : Berita Harian Online 28 Ogos 2012

Thursday, April 12, 2012

Emas Cecah RM6,140 Seauns

Capai harga tertinggi tahun depan kesan kemerosotan tarikan pelabur

KENAIKAN harga emas ke paras tertinggi melebihi AS$2,000 (RM6,140) seauns yang dijangka dicapai tahun depan, akan memberi petanda bahawa logam berharga itu mencapai paras harga kemuncak dalam aliran meningkat sejak lebih sedekad lalu apabila dasar kewangan di negara ekonomi utama kembali normal, kata Pengerusi Perundingan Logam (GFMS), semalam.

Pasaran dijangka meningkat kepada paras tertinggi baru menjelang awal 2013 selepas bergelut tahun ini ekoran permintaan agak perlahan di pasaran fizikal utama dan kemerosotan tarikan pelaburan untuk jongkong emas, kata Philip Klapwijk.

Harga emas mungkin melepasi AS$2,000 berikutan kebimbangan terhadap krisis hutang zon euro yang berterusan dan prospek berhubung lebih banyak pelonggaran dasar monetari AS, katanya.

“Kami menjangkakan dapat menyaksikan harga emas naik melepasi AS$2,000 pada 2013, namun begitu tahun depan mungkin menjadi sebagai petanda tertinggi untuk pasaran,” kata Klapwijk.

“Ia bergantung kepada sama ada kami melihat beberapa penyelesaian di Eropah yang mencukupi untuk mengambil beberapa langkah mengatasi isu berakhirnya langkah rangsangan di AS serta prospek normalisasi dasar monetari,” katanya.

Klapwijk berkata, emas dijangka diniagakan sekitar AS$1,530 hingga AS$1,920 seauns pada 2012, dengan harga purata AS$1,731 seauns.
Harga akhir tertinggi yang dipaparkan sedikit di bawah rekod tahun lalu iaitu AS$1,920.30 seauns yang dicatatkan pada September.

“Apa yang kita lihat adalah penangguhan berikutnya kepada kenaikan harga tertinggi,” kata Klapwijk sebelum melancarkan laporan GFMS Gold 2012.

“Paras harga melepasi AS$2,000 seauns mungkin akan melihat lebih banyak cerita untuk separuh pertama 2013 berbanding beberapa perkara yang kita akan lihat pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Melihat kepada unjuran untuk bekalan dan permintaan tahun ini, beliau menunjukkan kepada lebihan asas dalam pasaran yang mana dolar akan berjumlah AS$130 bilion.

Kaitan emas dengan aset lain seperti saham, dolar dan euro masih berubah secara berterusan.

Dalam tiga suku pertama 2011, kebanyakan emas didagangkan selaras dengan dolar berikutan pelabur membeli kedua-dua aset sebagai pelaburan selamat. Namun pada enam minggu terakhir, emas didagangkan berbanding dolar dan selaras dengan komoditi lain.

Walaupun kini emas kurang terdedah kepada turun naik dalam pasaran ekuiti, Klapwijk berkata, harga masih boleh jatuh secara ketara jika wujudnya satu pergerakan yang lebih rendah dalam bekalan. – REUTERS

Petikan: Berita Harian Online

Monday, April 9, 2012

Dividen AHB 3.25 Sen Seunit

PELABURAN Hartanah Bhd (PHB), anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan Mayban Investment Management Sdn Bhd, mengumumkan agihan pendapatan interim 3.25 sen seunit membabitkan pembayaran berjumlah RM32 juta kepada pemegang unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mayban Investment Management, Nor Azamin Salleh berkata, tahun lalu pihaknya membayar dividen sebanyak RM50 juta iaitu membabitkan RM19 juta bagi pendapatan pertama dan pendapatan kedua sebanyak RM31 juta.

“Ini adalah agihan pendapatan ketiga dibuat kepada 52,000 pemegang unit amanah AHB. Agihan pendapatan dibuat setiap enam bulan sekali bagi tempoh berakhir 31 Mac dan 30 September setiap tahun serta dikecualikan daripada cukai.

“Pembayaran untuk kali ini akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 10 April 2012 (hari ini),” katanya ketika mengumumkan pembayaran dividen AHB bagi enam bulan berakhir 31 Mac 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk memperbanyakkan pemilikan hartanah di seluruh negara.

Katanya, PHB sentiasa mempunyai perancangan mengembangkan saiz dana sebagai usaha berterusan memupuk kesaksamaan dalam pemilikan Bumiputera membabitkan hartanah komersial utama negara.

“Ketika ini, kami mempunyai lapan hartanah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion dan kami akan mengumumkan beberapa pelaburan baru apabila masanya tiba nanti. Selain hartanah runcit dan pejabat, kami turut berminat melabur dalam pemilikan tanah,” katanya.

Monday, March 26, 2012

Dividen 20 Peratus

HAMPIR sejuta pemegang saham Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menerima durian runtuh apabila bank koperasi itu mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 20 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengagihan dividen itu membabitkan pembayaran dividen tunai sebanyak 15 peratus berjumlah RM330 juta dan dividen bonus saham lima peratus atau RM105 juta.

Beliau berkata, pengagihan dividen lebih tinggi itu dapat dilaksanakan berikutan kejayaan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.02 bilion, meningkat 17.6 peratus atau RM301.9 juta berbanding RM1.72 bilion yang dicatatkan pada 2010.

“Pendapatan kasar bank Rakyat meningkat 13.3 peratus kepada RM5.5 bilion berbanding RM4.86 bilion pada tahun sebelumnya dengan pembiayaan peribadi kekal sebagai penyumbang utama kepada keuntungan bank di samping pertumbuhan dalam pendapatan Ar-Rahnu dan aktiviti pelaburan.

“Rekod keuntungan ini diperoleh berikutan fokus Bank Rakyat terhadap pertumbuhan aktiviti pembiayaan di samping peningkatan kualiti aset meskipun berdepan cabaran dalam industri perbankan,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan Bank Rakyat bagi tahun kewangan 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Ismail Sabri berkata, bagi tahun ini, Bank Rakyat mengunjurkan untuk mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.1 bilion dan sasaran ini dijangka mampu dicapai dengan didorong peningkatan pinjaman persendirian serta pendapatan daripada Ar-Rahnu.

Beliau berkata, Bank Rakyat juga berhasrat menambah sembilan cawangan baru di seluruh negara iaitu di Pahang, Johor, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan masing-masing dua di Sabah serta Terengganu.

Petikan: myMetro Online

Thursday, March 22, 2012

Dividen ASM 6.50 sen

LEBIH 540,000 pelabur Amanah Saham Malaysia (ASM) dengan jumlah 12.62 bilion unit akan menerima durian runtuh menerusi agihan pendapatan tahunan sebanyak 6.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini berbanding 6.38 sen seunit pada tahun lalu.

Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang pada 1 April ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan RM820.24 juta iaitu peningkatan sebanyak 8.6 peratus berbanding RM755.05 juta pada tahun lalu.

“Sehingga 21 Mac lalu, tabung ASM memperoleh pendapatan kasar RM978.32 juta dengan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam beberapa syarikat menyumbang 79 peratus kepada jumlah pendapatan kasar yang dicatatkan,” katanya selepas pengumuman pengagihan pendapatan ASM bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2012 di Kuala Lumpur, semalam yang turut dihadiri Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Majlis sama turut menyaksikan pengumuman agihan pendapatan bagi tabung di bawah Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Persaraan dan ASG-Kesihatan.

Pemegang unit ASG-Pendidikan akan menerima agihan pendapatan 7 sen seunit, ASG-Persaraan (7.05 seunit) dan ASG-Kesihatan (7.10 sen seunit).

Menurutnya, kadar agihan yang ditetapkan jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu, masing-masing pada kadar 5.60 sen seunit, 5.10 sen seunit dan 6.10 sen seunit.

“Prestasi yang ditunjukkan ASG adalah lebih baik berbanding ASM dan ia membabitkan faktor saiz pelaburan.

“Malah, kami juga turut membuat beberapa persiapan tertentu dalam memastikan pelaburan yang dibuat dapat memberi pulangan kompetitif setiap tahun,” katanya.

ASG adalah dana harga berubah-ubah dan setiap pelabur dibenarkan melanggan unit dalam ketiga-tiga tabung tanpa had.

Malah, pemegang unit yang melanggan melalui skim pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pendapatan agihan masing-masing akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP berkenaan.

Petikan: myMetro Online

Saturday, March 10, 2012

BNM Kekalkan OPR Pada 3 Peratus

KUALA LUMPUR 9 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Bank Pusat itu berkata, berdasarkan penilaian Mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC), keadaan kewangan global telah bertambah baik, manakala risiko pertumbuhan ekonomi global akan menjadi lebih perlahan masih lagi wujud.

Tekanan yang dihadapi oleh pasaran kewangan antarabangsa sebahagiannya telah diatasi dengan pengenalan langkah untuk menangani krisis hutang kerajaan Eropah, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di Asia, pertumbuhan terus disokong oleh permintaan dalam negeri, momentum pertumbuhan telah menjadi sederhana berikutan aktiviti perdagangan yang perlahan.

Petikan: Utusan Malaysia Online

Friday, March 2, 2012

Kekayaan 40 Individu Cecah RM192 Bilion

NILAI gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia tahun lalu meningkat sebanyak AS$2.3 (RM7 bilion) kepada AS$64.4 bilion (RM192 bilion) daripada tahun sebelumnya, demikian mengikut senarai terbaru majalah kewangan dan perniagaan Forbes.

Bilangan rakyat negara ini yang berada dalam kelompok individu dunia yang mempunyai kekayaan lebih AS$1 bilion (RM3 bilion) juga bertambah kepada 11 daripada 10 tahun sebelumnya.
Jutawan Robert Kuok masih mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya Malaysia dengan nilai kekayaan bersih AS$12.4 bilion (RM37 bilion) meskipun jumlah itu menurun sedikit daripada AS$12.5 bilion (RM37.5 bilion) setahun sebelumnya.
Kuok, 88, yang mempunyai empayar perniagaan meliputi gula, sawit, perkapalan dan hartanah menguasai kedudukan itu sejak 2006 ketika Forbes Asia memulakan senarai 40 rakyat Malaysia paling kaya itu.

Di tempat kedua ialah Ananda Krishnan, 73, yang menyaksikan nilai kekayaan bersihnya meningkat AS$400 juta (RM1.2 bilion) kepada AS$9.9 bilion (RM29.7 bilion).

Beliau kini sedang meluaskan portfolio perniagaan berkaitan tenaga di Malaysia, Asia Selatan dan Asia Barat dalam satu urus niaga yang boleh menjana sehingga AS$2 bilion (RM6 bilion), manakala Maxis Communications yang dikuasainya baru-baru ini memeterai perjanjian 10 tahun untuk berkongsi rangkaian 3G bersama syarikat pesaingnya, UMobile.

Di tempat ketiga ialah Puan Sri Lee Kim Hua, iaitu isteri kepada pengasas kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong serta keluarga yang nilai kekayaan bersihnya susut 1.5 peratus kepada AS$6.5 bilion (RM19.5 bilion).
Keluarga yang menjadi tulang belakang empayar Genting itu sedang menjadi bahan berita berikutan beberapa cubaan berprofil tingginya untuk mengembangkan operasi ke Amerika Syarikat (AS).

Tan Sri Lee Chin Seng, individu yang membina IOI Group menjadi antara pengeluar sawit terbesar dunia pula mengekalkan kedudukannya di tempat keempat dengan nilai bersih AS$5.2 bilion (RM15.6 bilion), meningkat AS$200 juta (RM600 juta) daripada tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang berada di tempat ketujuh, mengekalkan kedudukannya sebagai orang Melayu paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan bersihnya berjumlah AS$3.3 bilion (RM9.9 bilion).

Tiga pendatang baru membuat kemunculan sulung dalam senarai itu, dengan paling menyerlah ialah Tan Sri Dr Ninian Mogan Lourdenadin, seorang doktor bertauliah yang menjadi hartawan peruncitan yang menduduki tempat ke-22 dengan nilai kekayaan bersih AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Beliau adalah Ketua Eksekutif MBF Holdings dan mempunyai perniagaan dalam hartanah, peruncitan, pelancongan dan perkhidmatan perubatan di Malaysia, Fiji, Papua New Guinea dan Australia.

Seorang lagi pendatang baru ialah Gooi Seong Lim, di tempat ke-34 dengan kekayaan bersih AS$220 juta (RM660 juta). Beliau menerajui Crescendo, sebuah syarikat pembinaan dan pemaju hartanah.

Ng Joo Siang, usahawan berusia 52 tahun yang mengambil alih perniagaan keluarga, Pacific Andes International Holdings daripada bapanya juga membuat kemunculan sulung dalam senarai itu dengan berada di tempat ke-37 dengan nilai bersih AS$185 juta (RM555 juta).

Dua individu pula membuat kemunculan semula iaitu Pengerusi Eksekutif Kurnia Asia Bhd, Tan Sri Kua Sian Kooi dan Pengerusi Malayan United Industries Bhd, Tan Sri Dr Khoo Kay Peng.

Rakyat Malaysia terbaru yang memasuki kelompok individu dunia yang memiliki kekayaan lebih AS$1 bilion pula ialah adik beradik Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian yang menguasai syarikat sawit dan kimia, Batu Kawan.

Secara keseluruhannya, 21 daripada jutawan Malaysia dalam senarai itu menyaksikan kekayaan mereka meningkat, 12 menyusut, manakala dua orang tidak berubah.

Tahun ini, nilai bersih minimum yang diperlukan untuk layak dalam senarai itu ialah AS$155 juta (RM465 juta), meningkat daripada AS$125 juta (RM375 juta) tahun lalu.

Petikan: Berita Harian Online

Saturday, February 25, 2012

Brunei Kelima Terkaya

BANDAR SERI BEGAWAN 25 Feb. - Brunei Darussalam menduduki tangga kelima senarai 182 negara paling kaya di dunia hasil daripada kekayaan sumber minyak dan gas asli negara itu yang menyumbang pendapatan per kapita sebanyak AS$48,000 (RM144,581).

Menurut majalah Forbes menerusi laporan dalam taliannya, kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli.

Forbes turut menggunakan data yang dikumpulkan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 2010 hingga yang terbaru.

"Kuasa beli yang disesuaikan dengan KDNK digunakan oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa kerana ia mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan kadar inflasi berbanding hanya membuat perbandingan kadar pertukaran asing yang memutarbelit perbezaan sebenar dalam nilai," lapor majalah itu.

Awal bulan ini, Jabatan Pembangunan dan Perancangan Ekonomi (JPKE) melaporkan, indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011, manakala purata pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus setiap tahun.

Menurut JPKE, purata tahunan Indeks Harga pengguna (CPI) Brunei pada 2011 adalah 106.9 berbanding 104.8 pada 2010, dengan kadar inflasi dua peratus sepanjang tahun lalu.

Ekonomi Brunei didominasi oleh industri minyak dan gas dengan 90 peratus daripada eksportnya dan lebih separuh daripada KDNK negara itu datang daripada sektor tersebut.

Qatar dinamakan negara terkaya di dunia dengan jumlah KDNK per kapita lebih AS$88,000 (RM265,065) pada 2010, sementara Luxembourg di tangga kedua dengan KDNK per kapita lebih AS$81,000 (RM243,980) hasil daripada menjadi negara hab kewangan.

Singapura berada di tangga ketiga dengan KDNK per kapita hampir AS$56,700 (RM243,980), manakala Norway di kedudukan keempat dengan jumlah KDNK per kapita AS$52,000 (RM156,629). - AGENSI

Petikan: Utusan Malaysia Online