Monday, December 23, 2013

Tabung Haji Beli Hartanah Bernilai RM406j di London

Pulangan tahunan lumayan tarik minat dapatkan Unilever House

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran hartanah United Kingdom (UK), dengan pembelian bangunan pejabat Unilever House bernilai £75.8 (undefined 123,96) juta (RM406.36 juta).

Hartanah yang terletak di luar pusat bandar London dibeli daripada LondonMetric Property Plc, dana amanah hartanah (REIT) yang berpangkalan di UK.

Sumber industri berkata, pembelian hartanah yang terletak di Leatherhead, Surrey itu adalah urus niaga bangunan pejabat ketiga oleh Tabung Haji di UK.

Beliau berkata, Tabung Haji sudah memeterai perjanjian pembelian hartanah itu dengan LondonMetric Property pada minggu lalu dan urus niaga itu dijangka selesai pada akhir bulan depan.

Bangunan tiga tingkat

Katanya, pengurus dana jemaah haji Malaysia itu berjaya mengalahkan bidaan beberapa pengurus dana terkemuka global lain khususnya dari Asia Barat dan UK yang berminat untuk memiliki bangunan pejabat tiga tingkat yang menjadi ibu pejabat Unilever UK dan Ireland itu.

Petikan : Berita Harian Online

ASN Umum Dividen 6.45 Sen Seunit

Kuala Lumpur: Pelabur Skim Amanah Saham Nasional (ASN) akan menerima dividen 6.45 sen bagi setiap unit saham tahun ini, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 13 tahun.

Jumlah itu meningkat 0.15 sen seunit berbanding tahun sebelumnya 6.30 sen seunit. Ia bakal membabitkan 1.25 juta pemegang unit yang melanggan 1.55 bilion unit ASN.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata agihan itu sesuai dengan objektif ASN serta selaras perkembangan ekonomi dan pasaran saham semasa.

“Lembaga Pengarah ASNB bersetuju memperuntukkan RM100.27 juta sebagai pembayaran pengagihan pendapatan ASN bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013,” katanya dalam majlis pengumuman agihan pendapatan itu di sini semalam.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, secara umumnya prestasi ekonomi dan pasaran saham negara adalah baik sepanjang tahun ini walaupun persekitaran pelaburan berhadapan keadaan tidak menentu berikutan krisis hutang negara Eropah yang berpanjangan dan pertumbuhan ekonomi China semakin rendah serta kebimbangan pelabur terhadap pengumuman penarikan balik dasar pelonggaran kuantitatif oleh Amerika Syarikat.
Beliau berkata, sebagai tabung harga berubah-ubah, matlamat ASNB adalah bagi menjana pertumbuhan modal dan pengagihan pulangan yang berpatutan secara berterusan.

Sehingga 21 Disember 2013, ASN meraih pendapatan kasar RM128.61 juta dengan pendapatan keuntungan jualan saham menyumbang RM82.59 juta atau 64.22 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar.

Beliau berkata, pendapatan dividen diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM34.67 juta atau 26.96 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar, manakala baki RM11.35 juta atau 8.82 peratus daripada pendapatan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2013, iaitu hari terakhir tahun kewangan tabung ASN. Ia akan dilabur secara automatik dan dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember 2013.

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN di pejabat ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2014. Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai akhir Februari depan.

Sumber: Berita Harian Online