Monday, December 23, 2013

Tabung Haji Beli Hartanah Bernilai RM406j di London

Pulangan tahunan lumayan tarik minat dapatkan Unilever House

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran hartanah United Kingdom (UK), dengan pembelian bangunan pejabat Unilever House bernilai £75.8 (undefined 123,96) juta (RM406.36 juta).

Hartanah yang terletak di luar pusat bandar London dibeli daripada LondonMetric Property Plc, dana amanah hartanah (REIT) yang berpangkalan di UK.

Sumber industri berkata, pembelian hartanah yang terletak di Leatherhead, Surrey itu adalah urus niaga bangunan pejabat ketiga oleh Tabung Haji di UK.

Beliau berkata, Tabung Haji sudah memeterai perjanjian pembelian hartanah itu dengan LondonMetric Property pada minggu lalu dan urus niaga itu dijangka selesai pada akhir bulan depan.

Bangunan tiga tingkat

Katanya, pengurus dana jemaah haji Malaysia itu berjaya mengalahkan bidaan beberapa pengurus dana terkemuka global lain khususnya dari Asia Barat dan UK yang berminat untuk memiliki bangunan pejabat tiga tingkat yang menjadi ibu pejabat Unilever UK dan Ireland itu.

Petikan : Berita Harian Online

ASN Umum Dividen 6.45 Sen Seunit

Kuala Lumpur: Pelabur Skim Amanah Saham Nasional (ASN) akan menerima dividen 6.45 sen bagi setiap unit saham tahun ini, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 13 tahun.

Jumlah itu meningkat 0.15 sen seunit berbanding tahun sebelumnya 6.30 sen seunit. Ia bakal membabitkan 1.25 juta pemegang unit yang melanggan 1.55 bilion unit ASN.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata agihan itu sesuai dengan objektif ASN serta selaras perkembangan ekonomi dan pasaran saham semasa.

“Lembaga Pengarah ASNB bersetuju memperuntukkan RM100.27 juta sebagai pembayaran pengagihan pendapatan ASN bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013,” katanya dalam majlis pengumuman agihan pendapatan itu di sini semalam.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, secara umumnya prestasi ekonomi dan pasaran saham negara adalah baik sepanjang tahun ini walaupun persekitaran pelaburan berhadapan keadaan tidak menentu berikutan krisis hutang negara Eropah yang berpanjangan dan pertumbuhan ekonomi China semakin rendah serta kebimbangan pelabur terhadap pengumuman penarikan balik dasar pelonggaran kuantitatif oleh Amerika Syarikat.
Beliau berkata, sebagai tabung harga berubah-ubah, matlamat ASNB adalah bagi menjana pertumbuhan modal dan pengagihan pulangan yang berpatutan secara berterusan.

Sehingga 21 Disember 2013, ASN meraih pendapatan kasar RM128.61 juta dengan pendapatan keuntungan jualan saham menyumbang RM82.59 juta atau 64.22 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar.

Beliau berkata, pendapatan dividen diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM34.67 juta atau 26.96 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar, manakala baki RM11.35 juta atau 8.82 peratus daripada pendapatan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2013, iaitu hari terakhir tahun kewangan tabung ASN. Ia akan dilabur secara automatik dan dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember 2013.

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN di pejabat ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2014. Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai akhir Februari depan.

Sumber: Berita Harian Online

Wednesday, August 28, 2013

ASW 2020 Umum Agihan Pendapatan 6.70 Sen Seunit

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.70 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan tahun lalu.

Kadar agihan ini juga adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun (2012 : 6.60 sen seunit; 2011 : 6.50 sen seunit; 2010 : 6.35 sen seunit dan 2009 : 6.30 sen seunit).

Kadar pengagihan pendapatan tersebut membabitkan pembayaran berjumlah RM1.062 bilion, peningkatan sebanyak 9.2% berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelumnya yang berjumlah RM973.16 juta.
Pengagihan pendapatan ini akan dapat dimanfaatkan oleh seramai 899,967 pemegang unit yang telah melanggan 15.8 bilion unit ASW 2020.

Sehingga 25 Ogos 2013, ASW 2020 telah memperolehi pendapatan kasar berjumlah RM1.280 bilion. Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM624.46 juta atau 48.8% kepada pendapatan kasar. Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan pula menyumbang sebanyak RM421.18 juta atau 32.9% daripada jumlah pendapatan kasar tersebut manakala pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM234.05 juta atau 18.3% daripada jumlah pendapatan kasar tersebut.

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minima bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020.

Pengagihan pendapatan ASW 2020 akan dilaksanakan melalui pelaburan semula, yang akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan pemegang unit pada 1 September 2013. Semua urus niaga bagi ASW 2020 telah ditangguhkan bermula 25 Ogos 2013 sehingga 1 September 2013 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 September 2013.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW 2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.
Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Oktober 2013.

ASW 2020 merupakan dana berharga tetap di mana 51% daripada saiz yang dibenarkan adalah dibuka kepada masyarakat Bumiputera manakala 49% dibuka kepada masyarakat bukan Bumiputera. Pelaburan di dalam ASW 2020 dibuka kepada warganegara Malaysia berumur seawal 6 enam bulan ke atas.

Dikeluarkan oleh:
PERMODALAN NASIONAL BERHAD

Tuesday, July 9, 2013

Dewan Rakyat: Kenaikan Tarif Elektrik Ikut Kos Bahan Api

Kerajaan akan memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik bergantung kepada kenaikan kos bahan api dan bukannya untuk memberi keuntungan tambahan kepada syarikat utiliti.

Ia susulan pelaksanaan mekanisme Fuel-Cost Pass Through (FCPT) yang membolehkan syarikat utiliti menyalurkan secara terus sebarang kenaikan kos bahan api kepada pengguna.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata sebarang penetapan kos juga perlu mendapat persetujuan kerajaan bagi mengambil kira beban pengguna.
"
Sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga (bahan api), sudah tentulah semakan tarif, tidak dapat dielakkan kerana gas adalah bahan api utama dalam penjanaan elektrik” Maximus Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Katanya, ketika ini PETRONAS menetapkan harga gas bagi menjana elektrik RM13.70MMBtu, jauh lebih rendah daripada RM40MMBtu harga pasaran bagi memastikan kadar runcit tenaga lebih rendah.

Bahan api utama

“Sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga (bahan api), sudah tentulah semakan tarif, tidak dapat dielakkan kerana gas adalah bahan api utama dalam penjanaan elektrik.

“Sebarang perubahan harga bahan api akan disamakan (ditampung) kepada TNB dan TNB dibenarkan melepaskan kos itu kepada pengguna melalui prinsip FCPT.
“Ini bermakna kenaikan tarif elektrik bergantung kepada kenaikan kos bahan api dan bukan untuk memberi keuntungan tambahan kepada TNB,” katanya ketika menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini semalam.

FCPT adalah mekanisme di bawah Kawalselia Berdasarkan Insentif (IBR) Suruhanjaya Tenaga dalam meningkatkan kecekapan operasi syarikat utiliti, dengan syarikat terbabit akan menerima insentif atau dikenakan penalti, sekiranya gagal mencapai prestasi ditetapkan.

Maximus berkata, melalui FCPT pengguna elektrik 200Kwh sebulan akan kekal pada kadar 21.8 sen setiap kilowatt.

Beliau berkata, mereka yang menggunakan elektrik kurang 92Kwh sebulan atau kurang RM20 sebulan, akan terus diberi rebet.

Petikan : Berita Harian Online, 10 Julai 2013

Wednesday, June 19, 2013

Kakitangan Awam Naik Gaji 1 Julai

Kenaikan satu tangga antara RM80 hingga RM320

Kuala Lumpur: Kakitangan awam akan menerima kenaikan satu tangga gaji berkuat kuasa 1 Julai depan.

Kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320 itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, awal tahun ini.

Mereka yang layak mendapat satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) itu membabitkan semua kakitangan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bertaraf tetap, sementara dan kontrak yang dilantik sebelum 1 Julai 2013 dan sedang berkhidmat pada hari berkenaan.

Pegawai dipinjam layak

Turut layak pegawai yang dipinjam atau ditukar sementara ke agensi kerajaan, pegawai yang dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, pegawai yang bercuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji serta pegawai yang meninggal dunia pada 1 Julai 2013.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5, kenaikan itu bagaimanapun tidak membabitkan pegawai yang masih berkhidmat di bawah saraan Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet (JKK) 1976 atau Sistem Saraan Baru (SSB).

Turut tidak layak pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai lantikan baru berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai yang bersara pada atau sebelum 1 Julai 2013 dan pegawai yang meninggal dunia pada atau sebelum 30 Jun 2013.
Menurut pekeliling itu, kakitangan yang layak satu KGT mengikut gred jawatan/gred gaji masing-masing pada 1 Julai 2013 berdasarkan gaji hakiki pada 30 Jun 2013.

Kemuka permohonan

Ketua jabatan perlu mengemukakan permohonan penetapan gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada Bahagian Saraan sekiranya pemberian pemindahan gaji itu tidak dapat ditampung oleh amaun gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum – Maksimum (JGMM).

Untuk urusan kenaikan pangkat pula, pertukaran pelantikan atau pelantikan secara Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) berkuat kuasa sebelum atau pada 1 Julai 2013, pemberian gaji ini boleh diselaraskan dan dibayar berkuat kuasa 1 Julai 2013.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13, awal tahun ini.

Beliau dilaporkan berkata, kenaikan satu tangga gaji itu akan dilaksanakan selepas mengambil kira kedudukan 182,434 penjawat awam yang berada di tangga gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.

Kenaikan gaji itu membabitkan perbelanjaan berjumlah RM1.5 bilion.

Petikan : Berita Harian Online 20 Jun 2013

Monday, February 25, 2013

CIMB catat untung bersih RM4.35 bilion

Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih tertingginya sebanyak RM4.35 bilion tahun lalu, naik 7.8 peratus berbanding RM4.03 bilion yang diraihnya pada 2011.

Ia diraihnya daripada pendapatan berjumlah RM13.495 bilion, meningkat 11.3 peratus berbanding RM12.12 bilion pada 2011, didorong peningkatan kukuh pendapatan bukan faedah dan pendapatan faedah bersih.
Keuntungan bersih yang dicatatkannya itu bersamaan pendapatan sesaham (EPS) bersih 58.4 sen serta pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 16.0 peratus.

Berikutan prestasi cemerlang itu, kumpulan perbankan tempatan kedua terbesar itu mengumumkan dividen kedua sebanyak 18.38 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen yang dibayarnya sepanjang tahun lalu sebanyak 23.38 sen sesaham membabitkan sejumlah RM1.7 bilion.

Bagi tempoh suku keempat tahun lalu, kumpulan perbankan itu meraih keuntungan bersih RM1.082 bilion, iaitu 4.5 peratus lebih rendah berbanding RM1.133 bilion pada suku yang sama 2011.

Pendapatannya dalam tempoh itu merosot 0.35 peratus kepada RM3.369 bilion berbanding RM3.381 bilion.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, berkata prestasi kewangan kukuh yang dicatatkan kumpulan perbankan itu pada 2012 itu didorong pertumbuhan pendapatan kukuh dalam semua perniagaannya.
Katanya, pendapatan faedah bersihnya (NIM) berkembang 10.6 peratus sementara pendapatan bukan faedah pula berkembang 12.7 peratus, didorong oleh peningkatan kukuh urus niaga dalam pasaran modal dan peningkatan dalam pasaran perbendaharaan.

“Kami sekali lagi berjaya mencatatkan satu rekod keuntungan bersih. Ia dicapai walaupun tanpa pertumbuhan pinjaman yang agresif dan di sebalik pelaburan dan pelaksanaan perubahan dalaman yang ketara seiring dengan tema CIMB 2.0, untuk mengukuhkan daya saing dalam bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Keuntungan sebelum cukai perbankan pengguna serantau CIMB Group berkembang 23.9 peratus tahun lalu kepada RM2.323 bilion, sementara keuntungan sebelum cukai perbankan borong serantaunya melonjak 23.1 peratus kepada RM2.868 bilion.

Operasi perbankan pengguna kekal penyumbang terbesar kepada keuntungan sebelum cukainya iaitu sebanyak 41 peratus.

Sumbangan operasi perbendaharaan dan pasaran pula meningkat kepada 24 peratus daripada 18 peratus, sementara perbankan korporat, perbankan pelaburan serta pelaburan masing-masing menyumbang 21 peratus, lima peratus dan sembilan peratus.

Bagi operasi luar negaranya, keuntungan sebelum cukai CIMB Niaga meningkat 31.8 peratus kepada 5.787 trilion rupiah, sementara CIMB Thai meraih keuntungan sebelum cukai 1.668 bilion baht, meningkat 21.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai CIMB Singapore pula melonjak 73.3 peratus kepada RM156 juta.

Petikan: Berita Harian Online 26 Februari 2013

Tuesday, February 5, 2013

Dividen KWSP Lebih 6 Peratus

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen lebih enam peratus untuk kira-kira 8.3 juta pencarumnya bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Kali terakhir KWSP mengumumkan dividen lebih enam peratus adalah pada 1999, iaitu 6.84 peratus.
Tahun lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 2011, iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun, berbanding 5.8 peratus (2010) dan 5.65 peratus (2009).

Bayaran keseluruhan dividen bagi 2011 adalah sebanyak RM24.27 bilion, berbanding RM21.61 bilion pada 2010, peningkatan 13.23 peratus.

Pengurus dana pencen itu dijangka mengumumkan dividen dan keputusan kewangan 2012, minggu ini.

Sumber memberitahu BH, dividen tinggi itu berikutan suasana kewangan dan ekonomi yang semakin baik sepanjang 2012.

Disember lalu, akhbar melaporkan KWSP meraih pendapatan sebanyak RM7.02 bilion bagi tempoh suku ketiga tahun lalu, naik 3.24 peratus daripada RM6.80 bilion yang diraih dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Julai hingga September itu, pendapatan daripada pelaburan KWSP dalam portfolio pinjaman dan bon meningkat 65.64 peratus kepada RM3.06 bilion daripada hanya RM1.85 bilion (2011).

Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata di sebalik persekitaran yang mencabar dalam tempoh itu, pinjaman dan bon berjaya menghasilkan pulangan yang luar biasa berikutan beberapa transaksi taktikal pasaran modal, sekali gus mengatasi pelaburan dalam portfolio lain dalam tempoh sama.

Sementara itu, difahamkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan pertemuan hampir tiga jam dengan pengurusan KWSP, semalam, bagi membincangkan pelbagai perkara membabitkan pekerja swasta.

Petikan : Berita Harian Online | 6 Februari 2013