Thursday, May 19, 2011

Lebih 400,000 Guru Biasa Kecewa Dipinggirkan

Kira-kira 400,000 guru kelas biasa kecewa dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang hanya membawa berita gembira kepada 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Lok Yim Pheng berharap kerajaan akan menangani rintihan dan masalah serta memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

"Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Lok juga meminta guru-guru yang dipinggirkan ini tetapi menjadi "teras" pendidik peringkat akar umbi supaya bertenang dan meneruskan tugas-tugas murni mereka seperti biasa serta menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.

Beliau berkata, pihak kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi oleh guru kelas biasa.


Ramai tak puas hati

Menurutnya, pihak kesatuan tidak akan menghampakan guru-guru ini kerana mereka merupakan "tonggak" pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan meraka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Tanpa dedikasi guru-guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua sahaja tidak akan dapat mengendalikan sekolah," katanya.

Sementara itu, tinjauan rambang Bernama mengesahkan kenyataan kesatuan itu bahawa ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya buat ketua-ketua sekolah.

Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata, beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.

"Saya biasanya pulang ke rumah sejam atau dua jam lebih lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah," katanya.

Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Tan berkata, beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan-rakan sejawatannya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripadanya.

"Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tidak dihargai," katanya.

Petikan: Malaysiakini 18 Mei 2011

Friday, January 28, 2011

Tabung Haji Beri Bonus 5.5 Peratus

KUALA LUMPUR: Seramai 5.6 juta pendeposit Tabung Haji bakal menerima habuan iaitu pembayaran bonus pada kadar 5.5 peratus berikutan kejayaan agensi itu mencatat pendapatan lebih RM2 bilion, tahun lalu.

Ketika mengumumkannya semalam, Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Musa berkata, pendapatan itu adalah peningkatan sebanyak RM305 juta atau 17 peratus berbanding pendapatan pada 2009. Keuntungan selepas zakat bagi 2010 adalah RM1.4 bilion.

“Pembayaran bonus pendeposit sebanyak RM1.33 bilion itu adalah daripada keuntungan tahun semasa iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding bonus RM1.07 bilion yang dibayar pada 2009.

“Kadar bonus pendeposit Tabung Haji adalah kompetitif memandangkan profil pelaburan kita yang terhad kepada pelaburan berlandaskan Syariah saja. Namun begitu, Tabung Haji masih berkemampuan memberikan tambahan 0.5 peratus daripada kadar bonus 2009 sebanyak 5.0 peratus,

“Tabung Haji memiliki 5.6 juta pendeposit dengan jumlah deposit pada 2010 dicatatkan sebanyak RM25.8 bilion berbanding RM21.3 bilion pada tahun 2009,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abi Musa berkata, sumber-sumber utama pendapatan Tabung Haji bagi 2010 adalah daripada pelaburan ekuiti yang menyumbang sebanyak 65 peratus yang mana 19 peratus adalah pendapatan dividen dan 46 peratus merangkumi keuntungan urus niaga saham. Penyumbang kedua terbesar membabitkan pelaburan sekuriti hutang, terutama bon Islam yang menyumbang sebanyak 10 peratus.

“Perbelanjaan operasi Tabung Haji juga adalah terkawal dan dalam trend menurun jika dilihat daripada perspektif pendapatan yang sentiasa meningkat dan saiz dana pendeposit yang bertambah setiap tahun,” katanya.
Abi Musa berkata, keuntungan selepas zakat Tabung Haji bagi tahun lalu turut menunjukkan kadar pertumbuhan yang baik dengan perkembangan 34 peratus berbanding 2009.

“Baki keuntungan 2010 sebanyak RM164 juta akan dimasukkan ke rizab Tabung Haji menjadikan jumlah rizab terkumpul pada tahun lalu sebanyak RM317 juta,” katanya.

“Pengukuhan rizab perlu diberi keutamaan bagi mengelak faktor ketidaktentuan luaran yang akan sentiasa mendatangkan kesan kepada institusi pelaburan seperti Tabung Haji terutama apabila ekonomi masih berada di ambang pemulihan,” katanya.

Mengulas sasaran tahun ini, Abi Musa optimis untuk menyaksikan agensi itu mencatatkan deposit melebihi atau sekurang-kurangnya berada di paras RM30 bilion walaupun sentiasa berwaspada dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku.

Mengenai kemungkinan kos menunaikan haji dinaikkan tahun ini, Abi Musa Asa’ari berkata kenaikan itu pada dasarnya diakibatkan oleh pelbagai faktor luaran seperti kos penginapan dan pengangkutan.

“Tabung Haji menanggung subsidi sebanyak RM3020 untuk setiap jemaah kerana setiap jemaah muasasah hanya perlu membayar RM9,980 berbanding kos sebenar iaitu RM13,000.

“Apapun kenaikan yang berlaku, kami jamin ia tidak akan membebankan jemaah kerana ia perlu mengambil kira semua faktor,” katanya.

Petikan: Berita Harian Online

Tuesday, January 18, 2011

Lelaki kacak, Wanita Cantik Miliki IQ Lebih Tinggi

LONDON: Selain sering dilihat bertuah kerana sentiasa menjadi perhatian, seseorang yang memiliki wajah segak atau lawa juga didapati lebih cerdas berbanding orang lain.

Kajian terbaru dilakukan di Britain dan Amerika Syarikat mendapati, tahap purata IQ individu berwajah segak atau lawa adalah 14 mata lebih tinggi daripada orang biasa, Keputusan itu sekali gus menolak kepercayaan ramai bahawa wanita berambut perang atau lelaki kacak kurang cerdik.

Kajian itu dilakukan Sekolah Ekonomi London (LSE), baru-baru ini.

Menurut keputusan kajian itu, seseorang yang memiliki penampilan menarik mampu memikat pasangan yang bukan saja sama menawan, malah cerdas akal fikirannya.

Hasil hubungan itu, kata kajian berkenaan, pasangan terbabit boleh mendapat anak yang kemungkinan besar mewarisi kualiti fizikal dan mental mereka.

Penyelidik LSE, Satoshi Kanazawa, berkata daya tarikan fizikal mempunyai kesan ketara terhadap kecerdasan umum, sama ada dalam kawalan atau tidak.

“Hubungan di antara daya penarik dan kecerdasan turut semakin kuat di kalangan lelaki dan wanita,” katanya. Antara selebriti Barat yang memiliki daya penarik fizikal dan cerdas minda adalah supermodel, Lily Cole (pernah belajar di Universiti Cambridge) dan pelakon, Kate Beckinsale (lulusan Universiti Oxford). - DM

Petikan: Harian Metro