Thursday, April 12, 2012

Emas Cecah RM6,140 Seauns

Capai harga tertinggi tahun depan kesan kemerosotan tarikan pelabur

KENAIKAN harga emas ke paras tertinggi melebihi AS$2,000 (RM6,140) seauns yang dijangka dicapai tahun depan, akan memberi petanda bahawa logam berharga itu mencapai paras harga kemuncak dalam aliran meningkat sejak lebih sedekad lalu apabila dasar kewangan di negara ekonomi utama kembali normal, kata Pengerusi Perundingan Logam (GFMS), semalam.

Pasaran dijangka meningkat kepada paras tertinggi baru menjelang awal 2013 selepas bergelut tahun ini ekoran permintaan agak perlahan di pasaran fizikal utama dan kemerosotan tarikan pelaburan untuk jongkong emas, kata Philip Klapwijk.

Harga emas mungkin melepasi AS$2,000 berikutan kebimbangan terhadap krisis hutang zon euro yang berterusan dan prospek berhubung lebih banyak pelonggaran dasar monetari AS, katanya.

“Kami menjangkakan dapat menyaksikan harga emas naik melepasi AS$2,000 pada 2013, namun begitu tahun depan mungkin menjadi sebagai petanda tertinggi untuk pasaran,” kata Klapwijk.

“Ia bergantung kepada sama ada kami melihat beberapa penyelesaian di Eropah yang mencukupi untuk mengambil beberapa langkah mengatasi isu berakhirnya langkah rangsangan di AS serta prospek normalisasi dasar monetari,” katanya.

Klapwijk berkata, emas dijangka diniagakan sekitar AS$1,530 hingga AS$1,920 seauns pada 2012, dengan harga purata AS$1,731 seauns.
Harga akhir tertinggi yang dipaparkan sedikit di bawah rekod tahun lalu iaitu AS$1,920.30 seauns yang dicatatkan pada September.

“Apa yang kita lihat adalah penangguhan berikutnya kepada kenaikan harga tertinggi,” kata Klapwijk sebelum melancarkan laporan GFMS Gold 2012.

“Paras harga melepasi AS$2,000 seauns mungkin akan melihat lebih banyak cerita untuk separuh pertama 2013 berbanding beberapa perkara yang kita akan lihat pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Melihat kepada unjuran untuk bekalan dan permintaan tahun ini, beliau menunjukkan kepada lebihan asas dalam pasaran yang mana dolar akan berjumlah AS$130 bilion.

Kaitan emas dengan aset lain seperti saham, dolar dan euro masih berubah secara berterusan.

Dalam tiga suku pertama 2011, kebanyakan emas didagangkan selaras dengan dolar berikutan pelabur membeli kedua-dua aset sebagai pelaburan selamat. Namun pada enam minggu terakhir, emas didagangkan berbanding dolar dan selaras dengan komoditi lain.

Walaupun kini emas kurang terdedah kepada turun naik dalam pasaran ekuiti, Klapwijk berkata, harga masih boleh jatuh secara ketara jika wujudnya satu pergerakan yang lebih rendah dalam bekalan. – REUTERS

Petikan: Berita Harian Online

Monday, April 9, 2012

Dividen AHB 3.25 Sen Seunit

PELABURAN Hartanah Bhd (PHB), anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan Mayban Investment Management Sdn Bhd, mengumumkan agihan pendapatan interim 3.25 sen seunit membabitkan pembayaran berjumlah RM32 juta kepada pemegang unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mayban Investment Management, Nor Azamin Salleh berkata, tahun lalu pihaknya membayar dividen sebanyak RM50 juta iaitu membabitkan RM19 juta bagi pendapatan pertama dan pendapatan kedua sebanyak RM31 juta.

“Ini adalah agihan pendapatan ketiga dibuat kepada 52,000 pemegang unit amanah AHB. Agihan pendapatan dibuat setiap enam bulan sekali bagi tempoh berakhir 31 Mac dan 30 September setiap tahun serta dikecualikan daripada cukai.

“Pembayaran untuk kali ini akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 10 April 2012 (hari ini),” katanya ketika mengumumkan pembayaran dividen AHB bagi enam bulan berakhir 31 Mac 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk memperbanyakkan pemilikan hartanah di seluruh negara.

Katanya, PHB sentiasa mempunyai perancangan mengembangkan saiz dana sebagai usaha berterusan memupuk kesaksamaan dalam pemilikan Bumiputera membabitkan hartanah komersial utama negara.

“Ketika ini, kami mempunyai lapan hartanah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion dan kami akan mengumumkan beberapa pelaburan baru apabila masanya tiba nanti. Selain hartanah runcit dan pejabat, kami turut berminat melabur dalam pemilikan tanah,” katanya.