Monday, August 9, 2010

Persiapan Puasa

  Salam semua... Sehari dua lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Bagaimanakah dengan persiapan kita pada tahun ini? Adakah masih sama dengan tahun-tahun yang dahulu atau kita telah membuat perancangan yang lebih awal.
  Ramai dalam kalangan kita yang begitu bersemangat untuk menyambut Ramadhan kali ini. Tahniah saya ucapkan. Inilah yang kita harapkan. Semoga kita akan mendapat lebih keberkatan serta keredhaan daripada Ilahi. Tingkatkan amalan yang baik serta tinggalkan perbuatan yang dimurkai oleh Allah. Seharusnya amalan yang baik ini diteruskan walaupun Ramadhan telah berakhir.
  Ada juga di antara kita yang mengambil peluang menambahkan pengalaman dan pendapatan di bulan yang mulia ini seperti berniaga di bazar Ramadhan. Tahniah saya ucapkan. Walau bagaimanapun janganlah kita terlalu mengharapkan keuntungan sehingga mengabaikan aspek kualiti, kebersihan serta kepuasan pelanggan. Dengan peningkatan harga minyak serta gula, kemungkinan harga barang meningkat sentiasa ada. Harapan saya semoga para peniaga tidak mengambil kesempatan di atas kenaikan harga gula dan minyak yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
  Bulan Ramadhan juga banyak dikaitkan dengan pembaziran iaitu pembelian kuih-muih atau lauk-pauk yang berlebihan. Janganlah kita meniru amalan tersebut kerana membazir adalah sifat syaitan. Sepatutnya bulan Ramadhan ini kita dapat melatih diri berjimat-cermat serta berjaya melawan nafsu makan berlebihan. Berhenti makan sebelum kenyang. Bolehkah kita melakukannya? Insyaallah, dengan tekad dan semangat kita pasti berjaya melakukannya.
  Apapun, Ramadhan tetap akan datang dan pergi. Ambillah kesempatan Ramadhan tahun ini untuk mengambil kelebihan pahala dan manfaat yang berganda berbanding bulan-bulan yang lain. Rugilah orang yang tidak mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini.
  Akhir kata, selamat menyambut puasa kepada semua umat islam di Malaysia serta di serata dunia.

No comments:

Post a Comment