Thursday, August 12, 2010

Gejala Pembuangan Bayi Semakin Serius

  Saban hari kita diperlihatkan dan diperdengarkan  di media massa tentang gejala pembuangan  bayi yang tidak berdosa. Ada yang mencampakkan bayi yang tidak berdosa  ke sungai, dalam tong sampah, meninggalkan di bawah pokok, digantung di atas pagar dan macam-macam lagi sehinggakan kita tidak sanggup melihat atau mendengar berita tersebut kerana begitu menyayat hati.
  Semalam, kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi telah dilaporkan. Manakala 60 kes pula direkodkan sejak awal tahun ini hingga semalam.
  Apakah punca berlakunya kes sedemikian? Mengapa bayi yang tidak berdosa menjadi mangsanya? Mengikut statistik, bayi yang dibuang ini banyak dalam kalangan orang melayu. Sekiranya bayi ini melayu, maka tentulah ibu bapanya pun orang melayu juga. Sekiranya ini benar, apa sudah jadi dengan bangsa melayu. Adakah orang melayu sudah hilang sifat kasih sayang kepada anak yang dikandung? 
  Rata-rata yang membuang anak ini terdiri daripada golongan yang terlanjur atau yang melakukan zina kemudian hamil. Bagi mereka menjaga keaiban lebih penting daripada menjaga seorang anak. Mereka seolah-olah sudah lupa tentang agama. Kadang-kadang yang melakukannya terdiri daripada golongan yang yang terpelajar. Sudah lupakah ilmu agama yang diajar disekolah? Kerana itulah agama islam mengajar batas-batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan . Sekiranya ini tidak diambil kisah oleh masyarakat, tunggulah sesuatu bala akan menimpa kaum tersebut. Inilah yang amat ditakuti. 
  Tidak takutkah mereka dengan balasan Allah nanti? Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, mereka yang melakukan zina dipertunjukkan ole Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W keadaan lelaki dan perempuan yang diletakkan dua piring yang mengandungi daging yang baik dan satu yang busuk tetapi mereka memilih daging yang busuk. Selain itu, Allah juga memperlihatkan sekumpulan manusia yang digantung pada buah dada mereka dengan rantai api neraka dan dari faraj mereka keluar nanah busuk sehingga ada dalam kalangan ahli neraka itu sendiri tidak senang melihat keadaan mereka dan meminta dijauhkan.Mereka itu, menurut Jibril adalah dalam kalangan yang tidak menjaga kehormatan.
  Itu balasan di akhirat. Di dunia pula, Thabrani Ibni Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jauhilah oleh kamu akan zina kerana kecelakaannya empat macam, iaitu hilang seri pada mukanya, disempitkan rezekinya, kemurkaan Allah atasnya, dan ia berkekalan dalam neraka.” Mahukah kita seperti itu?
  Sekiranya masyarakat hari ini berpegang teguh kepada ajaran Islam maka kes seperti ini tidak akan berlaku. Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri . Ikutlah ajaran Islam yang sebenar. Sentiasalah berpegang kepada ‘amal maaruf nahi mungkar’. Ingatlah kehidupan kita di dunia ini banyak tipu daya dan yang kekal abadi hanyalah alam akhirat. Jauhilah daripada melakukan dosa. Bertaubatlah sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment