Wednesday, March 19, 2014

Dividen ASM 6.60 sen seunit

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM947.10 juta yang akan memanfaatkan lebih 530,000 pemegang unit yang melanggan 14.34 bilion unit ASM.

Katanya, sehingga 17 Mac 2014, tabung ASM memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.61 bilion.

Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat menyumbang sebanyak RM544.94 juta atau 46.8 peratus kepada jumlah pendapatan kasar.

“Sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014, prestasi tabung ASM adalah memuaskan selaras dengan keadaan pasaran saham dan ekonomi dunia yang semakin pulih serta peningkatan permintaan domestik dan pertumbuhan eksport berikutan aktiviti perdagangan serantau yang kukuh.

“Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat pula menyumbang sebanyak RM434.49 juta atau 37.4 peratus dan selebihnya sebanyak RM183.39 juta diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan instrumen jangka pendek,” katanya di majlis pengumuman dividen ASM, di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, tahun lalu pengagihan pendapatan tabung ASM adalah pada kadar 6.50 sen seunit di samping pengagihan pendapatan khas pada kadar 0.30 sen seunit dan tahun ini pendapatan ASM dilihat berpatutan dan memenuhi objektif tabung.

Menurutnya, pengiraan pengagihan pendapatan berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan tabung ASM.

Beliau berkata, bagi membolehkan pemegang unit menikmati pulangan daripada pertumbuhan unit amanah tabung ASM, pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 April 2014.
Bagi tujuan pengiraan pendapatan, semua urus niaga bagi tabung ASM akan ditangguhkan mulai 23 Mac hingga 31 Mac 2014.

Buku pelaburan boleh dikemas kini mulai 1 April 2014 di semua ejen dan pejabat ASNB seluruh negara.

ASM ialah dana ekuiti pendapatan yang dilancarkan pada 20 April 2000 dengan objektif untuk memberi peluang kepada pemegang unit membuat pelaburan jangka panjang bagi memperoleh pulangan yang kompetitif dan berterusan menerusi pelaburan dalam portfolio yang dipelbagaikan.

Foto 
AHMAD Sarji (kiri) bersama Hamad Kama Piah ketika majlis pengumuman dividen ASM di Menara PNB, semalam.

Petikan : Harian Metro Online 20 Mac 2014

Friday, March 14, 2014

Bank Rakyat agih RM446 juta


Kuala Lumpur: Bank Rakyat Bhd (Bank Rakyat) mengumumkan pembayaran dividen tunai 15 peratus bernilai RM446 juta kepada 960,000 ahlinya yang terdiri daripada koperasi dan orang awam bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 bersandarkan prestasi positif keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) sebanyak RM2.13 bilion.

Bank Koperasi berkenaan turut mencatatkan keuntungan bersih RM1.91 bilion meningkat 8.7 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya dan pendapatan kasar RM6.07 bilion.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malik berkata, keputusan PBTZ bagi tahun kewangan 2013 adalah setara dengan 2012 berikutan prestasi ekonomi global tidak menentu. Namun, ia tetap dilihat positif.

Beliau berkata, mengenai pembayaran dividen 15 peratus dilihat masih tinggi walaupun pada tahun sebelumnya Bank Rakyat membayar 18 peratus termasuk dua peratus bonus kepada ahlinya.

Foto 
DARI kiri Mustafha, Sabbaruddin, Hasan, Ahmad Bashah dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nik Ali Mat Yunus bergambar bersama replika cek dividen.

“Jumlah aset juga meningkat 4.9 peratus dari tahun ke tahun kepada RM82.88 bilion berbanding RM79.02 bilion pada tahun lalu. Manakala, pulangan atas aset kekal tinggi pada kadar 2.6 peratus.

“Kualiti aset Bank Rakyat bagi 2013 juga bertambah baik yang mana nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah pada kadar 2.2 peratus berbanding 2.5 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya pada pengumuman prestasi kewangan Bank Rakyat yang berakhir 31 Disember 2013 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kementerian itu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak.

Hasan berkata, prestasi positif yang dicatatkan oleh Bank rakyat menunjukkan kemampuannya untuk membantu lebih ramai pemain industri koperasi di Malaysia untuk mendapatkan pembiayaan dan faedah perniagaan yang dijalankan oleh bank berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/14