Monday, August 30, 2010

Selamat Menyambut Hari Merdeka ke 53

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 53 kepada semua rakyat Malaysia. Marilah kita kibarkan jalur gemilang. Jangan biarkan diri dan minda kita dijajah. Teruskan menjaga keamanan dan kesejahteraan negara kita. Marilah kita laungkan... Merdeka! Merdeka! Merdeka! Selamat Hari Merdeka...


Sunday, August 29, 2010

Tips Balik Kampung

Assalamualaikum...

Hari ini sudah masuk 20 hari kita berpuasa. Tidak lama lagi kita akan berhari raya dan masing-masing membuat persediaan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Di sini saya ingin berkongsi bersama-sama tips balik kampung semoga perjalanan yang jauh dan sepanjang peninggalan rumah untuk pulang bercuti akhirnya tidak menjadi satu tragedi. Walaupun telah banyak kali diwawarkan dalam media massa tentang keselamatan semasa perjalanan namun kita sendiri masing-masing perlu mengambil inisiatif untuk kebaikan diri kita.

Antaranya ialah:
1. Pastikan dahulu keperluan untuk dibawa pulang tidak tertinggal. Oleh kerana perjalanan yang jauh, tidak berbaloi untuk kita pulang kembali mengambil barang yang tertinggal. Maka, sebaik-baiknya kita menyediakan satu 'checklist' supaya kita terlepas pandang.

2.Pastikan juga kenderaan kita berada di dalam keadaan memuaskan. Seelok-eloknya periksalah kereta terlebih dahulu dan pastikan tekanan angin tayar mencukupi. Harapan kita semoga perjalanan yang panjang itu tidak tergendala dengan kerosakan yang disebabkan oleh kecuaian kita.

3. Keselamatan rumah yang kita tinggalkan juga tidak boleh diabaikan. Pastikan tiada peralatan elektrik yang tidak ditutup dan pastikan juga rumah dikunci dengan sempurna. Maklumkan kepada jiran disebelah sekiranya jiran tidak balik kampung. Anda juga boleh memaklumkan kepada pihak polis berapa lama anda bercuti untuk memudahkan pihak polis memantau kawasan persekitaran. Pastikan juga pagar rumah dikunci.

4. Sebelum bertolak balik, pastikan kita berdoa dan memohon kepada Allah semoga perjalanan kita dan kenderaan kita selamat  semasa pergi dan pulang kembali.

gambar sekadar hiasan

5. Semasa memandu, jangan terlalu ghairah untuk sampai cepat. Pastikan peraturan lalulintas dipatuhi dan jangan memandu terlalu laju. Pastikan kenderaan yang dipandu di dalam kawalan kita. Sekiranya mengantuk, berhenti untuk berehat atau tidur seketika. Jangan mempertaruhkan nyawa kita dan keluarga. Ingatlah orang yang tersayang sedang menanti kepulangan anda.

6. Pilihlah jalan yang selamat untuk pulang ke kampung. Janganlah kita mengambil risiko semata-mata mahu menjimatkan sedikit minyak atau bayaran tol. Sekiranya hujan lebat, berhenti atau perlahankan kenderaan. Nyalakan juga lampu kenderaan atau lampu kecemasan.

7. Apabila sudah sampai ke destinasi, jangan lupa untuk mengucapkan syukur kerana telah sampai dengan selamat. Secanggih mana kenderaanpun tidak akan selamat sekiranya Allah tidak mengizinkan.

Akhir kata, ingatlah pepatah orang dulu-dulu. Biar lambat asal selamat. Semoga perjalanan kita diredhai oleh Allah dan saya mengucapkan selamat pulang bercuti dan selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Wassalam.

Thursday, August 12, 2010

Gejala Pembuangan Bayi Semakin Serius

  Saban hari kita diperlihatkan dan diperdengarkan  di media massa tentang gejala pembuangan  bayi yang tidak berdosa. Ada yang mencampakkan bayi yang tidak berdosa  ke sungai, dalam tong sampah, meninggalkan di bawah pokok, digantung di atas pagar dan macam-macam lagi sehinggakan kita tidak sanggup melihat atau mendengar berita tersebut kerana begitu menyayat hati.
  Semalam, kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi telah dilaporkan. Manakala 60 kes pula direkodkan sejak awal tahun ini hingga semalam.
  Apakah punca berlakunya kes sedemikian? Mengapa bayi yang tidak berdosa menjadi mangsanya? Mengikut statistik, bayi yang dibuang ini banyak dalam kalangan orang melayu. Sekiranya bayi ini melayu, maka tentulah ibu bapanya pun orang melayu juga. Sekiranya ini benar, apa sudah jadi dengan bangsa melayu. Adakah orang melayu sudah hilang sifat kasih sayang kepada anak yang dikandung? 
  Rata-rata yang membuang anak ini terdiri daripada golongan yang terlanjur atau yang melakukan zina kemudian hamil. Bagi mereka menjaga keaiban lebih penting daripada menjaga seorang anak. Mereka seolah-olah sudah lupa tentang agama. Kadang-kadang yang melakukannya terdiri daripada golongan yang yang terpelajar. Sudah lupakah ilmu agama yang diajar disekolah? Kerana itulah agama islam mengajar batas-batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan . Sekiranya ini tidak diambil kisah oleh masyarakat, tunggulah sesuatu bala akan menimpa kaum tersebut. Inilah yang amat ditakuti. 
  Tidak takutkah mereka dengan balasan Allah nanti? Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, mereka yang melakukan zina dipertunjukkan ole Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W keadaan lelaki dan perempuan yang diletakkan dua piring yang mengandungi daging yang baik dan satu yang busuk tetapi mereka memilih daging yang busuk. Selain itu, Allah juga memperlihatkan sekumpulan manusia yang digantung pada buah dada mereka dengan rantai api neraka dan dari faraj mereka keluar nanah busuk sehingga ada dalam kalangan ahli neraka itu sendiri tidak senang melihat keadaan mereka dan meminta dijauhkan.Mereka itu, menurut Jibril adalah dalam kalangan yang tidak menjaga kehormatan.
  Itu balasan di akhirat. Di dunia pula, Thabrani Ibni Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jauhilah oleh kamu akan zina kerana kecelakaannya empat macam, iaitu hilang seri pada mukanya, disempitkan rezekinya, kemurkaan Allah atasnya, dan ia berkekalan dalam neraka.” Mahukah kita seperti itu?
  Sekiranya masyarakat hari ini berpegang teguh kepada ajaran Islam maka kes seperti ini tidak akan berlaku. Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri . Ikutlah ajaran Islam yang sebenar. Sentiasalah berpegang kepada ‘amal maaruf nahi mungkar’. Ingatlah kehidupan kita di dunia ini banyak tipu daya dan yang kekal abadi hanyalah alam akhirat. Jauhilah daripada melakukan dosa. Bertaubatlah sebelum terlambat.

Wednesday, August 11, 2010

Program Bumi Hijau

  Sekali lagi pada tahun ini, Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah (SMTMS), Pahang mengambil bahagian dalam pertandingan Program Bumi Hijau. Pada tahun lepas, sekolah mendapat tempat pertama peringkat negeri Pahang dan tempat ketiga peringkat kebangsaan. Tahniah diucapkan kepada para guru dan mereka yang terlibat secara lansung atau tidak.
  Penulis juga sebahagian daripada AJK dan juga merupakan warga SMTMS turut berasa bangga dengan pencapaian tersebut. Diharapkan pada tahun ini akan menyebelahi sekolah kami. Pemantauan awal akan diadakan selepas puasa nanti dan pihak sekolah kini bertungkus-lumus dalam persiapan tersebut.
 Program Bumi Hijau ini telah dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. Matlamat utama program ini adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengeluarkan sendiri bahan makanan.
  Antara aktiviti yang dijalankan oleh SMTMS ialah menjalankan projek penanaman Taman Herba 'Prime Kitchen Garden', tanaman sayur-sayuran, serta ternakan ikan keli dan ayam itik.
  Program ini banyak memberi manfaat serta dapat menggunakan ruang yang kosong dengan sebaik mungkin. Akhir kata, tahniah kepada pihak sekolah kerana berani menyahut seruan kerajaan serta menjadi contoh kepada generasi hari ini dan akan datang untuk memajukan bidang pertanian serta boleh meningkatkan ekonomi isi rumah.

 Perasmian 'The Prime Kitchen Garden'

Projek Tanaman Sayur

 Bahagian Hadapan

 Antara Landskap

 Tanaman Herba

 Ternakan Keli

Monday, August 9, 2010

Persiapan Puasa

  Salam semua... Sehari dua lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Bagaimanakah dengan persiapan kita pada tahun ini? Adakah masih sama dengan tahun-tahun yang dahulu atau kita telah membuat perancangan yang lebih awal.
  Ramai dalam kalangan kita yang begitu bersemangat untuk menyambut Ramadhan kali ini. Tahniah saya ucapkan. Inilah yang kita harapkan. Semoga kita akan mendapat lebih keberkatan serta keredhaan daripada Ilahi. Tingkatkan amalan yang baik serta tinggalkan perbuatan yang dimurkai oleh Allah. Seharusnya amalan yang baik ini diteruskan walaupun Ramadhan telah berakhir.
  Ada juga di antara kita yang mengambil peluang menambahkan pengalaman dan pendapatan di bulan yang mulia ini seperti berniaga di bazar Ramadhan. Tahniah saya ucapkan. Walau bagaimanapun janganlah kita terlalu mengharapkan keuntungan sehingga mengabaikan aspek kualiti, kebersihan serta kepuasan pelanggan. Dengan peningkatan harga minyak serta gula, kemungkinan harga barang meningkat sentiasa ada. Harapan saya semoga para peniaga tidak mengambil kesempatan di atas kenaikan harga gula dan minyak yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
  Bulan Ramadhan juga banyak dikaitkan dengan pembaziran iaitu pembelian kuih-muih atau lauk-pauk yang berlebihan. Janganlah kita meniru amalan tersebut kerana membazir adalah sifat syaitan. Sepatutnya bulan Ramadhan ini kita dapat melatih diri berjimat-cermat serta berjaya melawan nafsu makan berlebihan. Berhenti makan sebelum kenyang. Bolehkah kita melakukannya? Insyaallah, dengan tekad dan semangat kita pasti berjaya melakukannya.
  Apapun, Ramadhan tetap akan datang dan pergi. Ambillah kesempatan Ramadhan tahun ini untuk mengambil kelebihan pahala dan manfaat yang berganda berbanding bulan-bulan yang lain. Rugilah orang yang tidak mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini.
  Akhir kata, selamat menyambut puasa kepada semua umat islam di Malaysia serta di serata dunia.

Saturday, August 7, 2010

Selamat Datang Semua

Selamat datang ke IdeaSokmo. Semoga kehadiran blog ini dapat memeriahkan ruang siber yang ada. Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini.

Salam dari penulis...
IdeaSokmo.