Friday, September 24, 2010

AS 1 Malaysia

Kelmarin diumumkan agihan sulung Amanah Saham 1 Malaysia oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman iaitu sebanyak 6.38 sen seunit. Seperti yang dilaporkan, dividen sulung yang diumumkan ini menggambarkan dana ini mengatasi prestasi penanda aras semasa dan setimpal untuk mendapatkan pulangan yang berdaya saing seperti dana lain.

Sejauh manakah kaum bumiputera amnya kaum melayu mengambil kesempatan ke atas pelaburan ini kerana kuota sebanyak 50 peratus untuk kaum bumiputera masih belum dipenuhi. Keadaan ini menunjukkan kesedaran melabur bagi kaum bumiputera masih kecil dan keadaan seperti ini perlu diatasi segera. Sebaliknya, kaum bukan bumiputera berlumba-lumba melabur setiap kali peluang ini dibuka kepada mereka dan mereka melanggan sehingga habis.

Tidak kiralah sama ada AS 1 Malaysia atau amanah lain. Tahap kesedaran yang lemah ini menunjukkan ilmu pengetahuan tentang pelaburan masih rendah dalam kalangan pelabur bumiputera. Mereka lebih gemar melabur dalam skim-skim seperti skim cepat kaya dan sebagainya yang menjanjikan pulangan lebih lumayan. Namun ada kalanya mereka tertipu sehingga mengakibatkan kerugian kerana sifat yang tamak.

Untuk mendapat kesedaran bukanlah mudah kerana masyarakat kita masih kurang minat untuk membaca dan mendapatkan ilmu tentang pelaburan. Selain itu, gaya hidup yang mewah menyebabkan mereka suka untuk menghabiskan wang untuk memenuhi tuntutan nafsu.

Apapun terpulang kepada pandangan masing-masing. Ambillah peluang yang disediakan oleh kerajaan. Rugi sekiranya suka mengambil sikap tunggu dan lihat. Bermulalah melabur dari awal kerana melabur tidak semestinya bermula dengan wang yang banyak. Bak kata orang, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Sekian.

Wednesday, September 22, 2010

Tarif elektrik kekal - TNB

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Tarif elektrik dijangka kekal pada kadar semasa memandangkan tiada sebarang penilaian dilakukan untuk menaikkan kadar tersebut setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, tarif elektrik masa kini masih boleh dikekalkan kerana nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pasaran juga telah jatuh.

"Kejatuhan nilai dolar AS sedikit sebanyak telah memberikan kelebihan kepada negara kerana kos perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik yang selama ini dijalankan menggunakan mata wang tersebut dapat dikurangkan.

"Jika kos perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik dapat dikurangkan, bermakna tiada sebab untuk menaikkan tarif sedia ada dan saya jangka ia akan dikekalkan buat masa ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Majlis Mesra Aidilfitri TNB di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie serta Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat) TNB, Adelina Iskandar.

Menurut Khalib, pengekalan tarif itu turut bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan serta harga pasaran semasa arang batu yang menjadi bahan bakar sesetengah loji penjana kuasa elektrik.

Katanya, buat masa ini, kedudukan ringgit yang semakin kukuh di pasaran berbanding dolar AS menyebabkan kos untuk membeli arang batu berkurangan.

"Segala urusan pembelian arang baru dilakukan menggunakan dolar AS dan kejatuhan nilai mata wang tersebut telah menjimatkan kita untuk membeli sumber tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tarif elektrik itu boleh berubah pada masa depan kerana faktor perubahan dalam harga arang baru dan nilai mata wang.

Beliau berkata, walaupun harga arang batu meningkat pada masa akan datang, selagi nilai ringgit kukuh, kos perbelanjaan pembelian arang batu masih dapat ditampung.

"Jika kita dapat mengekalkan serta mengukuhkan lagi nilai ringgit dan dalam masa yang sama nilai dolar AS pula merudum, kita tidak akan menghadapi masalah untuk menampung perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik dan mungkin tarif sedia ada dapat dikekalkan,'' katanya.

Petikan : Utusan Malaysia Online, 22 September 2010

Kadar Pembiayaan Rumah Kekal 90%

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Bagi memastikan golongan muda dan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri, kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan pembiayaan rumah kepada 90 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar pembiayaan rumah itu kekal untuk pembelian bagi rumah pertama dan kedua sahaja.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak berhasrat mengurangkan kadar pinjaman perumahan daripada 90 peratus kepada 80 peratus pada masa ini.

"Bagi pembeli yang sudah memiliki beberapa buah rumah dan berhasrat untuk membeli rumah lagi, kemungkinan jumlah pinjaman akan dikurangkan kepada 80 peratus sebagaimana dicadangkan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan BNM yang mahu mengkaji semula cadangan supaya bank-bank tempatan mengurangkan pinjaman perumahan daripada 90 peratus kepada 80 peratus.

Namun, cadangan itu mendapat bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melihat ia akan menjejaskan peluang golongan muda untuk memiliki rumah.

Malah, ada gesaan supaya BNM menangguhkan cadangan menurunkan nisbah pinjaman berbanding nilai (LVR) pajakan sesuatu hartanah kepada 80 peratus.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil sikap terbuka berkenaan cadangan untuk membenarkan ringgit diniagakan di luar pesisir, 12 tahun selepas ia dihentikan.

Ringgit kini diniagakan pada paras tinggi dalam tempoh 13 tahun pada RM3.10 berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Ringgit kita mengukuh seiring dengan asas-asas ekonomi yang menggalakkan dan ini tidak menyebabkan sebarang kesan teruk pada perdagangan dan pelaburan ke Malaysia," kata Najib.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil beberapa langkah serta mengkaji secara mendalam sebelum rancangan ringgit diniagakan.

Katanya, kerajaan sentiasa berhati-hati dengan langkah tersebut agar kesan krisis kewangan 1997 tidak berulang di samping menjejaskan nilai ringgit yang dilihat begitu kukuh ketika ini.

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
pengarang@utusan.com.my

Petikan: Utusan Malaysia Online, 22 September 2010

Tuesday, September 14, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin kepada pembaca blog ini. Rasanya masih belum terlewat kerana kita masih lagi di hari raya ke enam. Selamat berpuasa enam kepada yang berpuasa di bulan Syawal ini.

Kepada yang ingin pulang ke destinasi masing-masing. Diharap dapat kembali dengan selamat. Pandu kenderaan dengan hati-hati. Sedih apabila mendengar berita kemalangan dan kematian di dada akhbar. Semoga kita tidak termasuk di dalam statistik tersebut.

Al-fatihah juga kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. Berita pembunuhan kejam ini menarik perhatian pelbagai lapisan  masyarakat. Tahniah kepada PDRM kerana berjaya menyelesaikan misteri kehilangan mereka.

Sekian...Wassalam.

Friday, September 3, 2010

Lebih 600,000 Kenderaan Akan Berada Di Kelantan Semasa Raya

JELI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjangka lebih 600,000 kenderaan akan memenuhi jalan raya di negeri itu serta bakal menimbulkan masalah kesesakan di jalan utama semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pengarahnya, Abdul Ghani Che Kassim, berkata anggaran itu berdasarkan jumlah kemasukan kenderaan luar serta jumlah kenderaan yang didaftarkan di Kelantan.

"JPJ merekodkan 600,000 kenderaan didaftarkan di negeri ini. Kita menjangkakan penambahan 30 peratus hingga ke 40 peratus kenderaan dari luar. Ia akan menyebabkan kesesakan jalan raya di negeri ini terutama apabila hampir musim raya ini," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, pihaknya menempatkan 150 anggota penguatkuasa untuk mengawal dan meronda kawasan berisiko tinggi kemalangan di sepanjang Jalan Kuala Krai-Gua Musang pada musim perayaan ini.

Katanya, gerakan itu dijalankan serentak dengan Ops Sikap ke-22 yang bermula hari ini hingga 19 September.

Beliau berkata, antara kawasan tumpuan gerakan ialah di 13 lokasi yang telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan serta dikenali "jalan sakratulmaut".

"Kami akan meletakkan anggota penguatkuasa berkawal dan membuat rondaan 24 jam di sepanjang jalan terbabit
pada musim perayaan ini," katanya. - BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online 3 September 2010