Friday, September 28, 2012

Agih pendapatan 6.60 sen seunit

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) yang dimiliki penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit untuk Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2012.

Pengagihan pendapatan kali ketiga ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding 6.50 sen seunit tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan tersebut membabitkan pembayaran berjumlah RM459.86 juta, peningkatan sebanyak 49.1 peratus berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelum ini berjumlah RM308.40 juta.

Katanya, seramai 336,411 pemegang unit yang telah melanggan 8.02 bilion unit AS1M.

''Sehingga 25 September 2012, tabung AS1M telah memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM577.4 juta dengan pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM318.3 juta atau 55.1 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut.

''Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM158.1 juta atau 27.4 peratus, manakala selebihnya sebanyak RM101 juta atau 17.5 peratus diperoleh melalui pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan agihan pendapatan AS1M di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Tambah Ahmad Sarji, sepanjang tahun kewangan yang berakhir 30 September 2012 AS1M telah mencapai objektif pelaburannya melalui strategi pelaburan berhemat dan telah menjana pendapatan yang selaras dengan situasi pelaburan semasa.

''Pengiraan pengagihan pendapatan AS1M adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan tabung tersebut,'' katanya.

Pengagihan pendapatan AS1M akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Oktober 2012.

Semua urusniaga bagi AS1M ditangguhkan mulai 21 September sehingga 30 September bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.

Para pemegang unit saham boleh mengemaskini buku pelaburan AS1M mulai 1 Oktober 2012.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, mereka mengharapkan AS1M terus memberikan pulangan kompetitif berdasarkan prestasi pasaran.

Petikan: Utusan Online 28 September 2012