Saturday, October 23, 2010

17 Bilionair Baru India

MUKESH AMBANI mengekalkan gelaran sebagai individu terkaya di India ketika perkembangan pesat ekonomi melahirkan 17 bilionair baru pada 2010.

Tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 69 orang, berdasarkan senarai individu terkaya yang disiarkan majalah Forbes baru-baru ini.

Ambani, pengerusi syarikat persendirian terbesar India, Reliance Industries, mempertahankan kedudukannya sebagai individu terkaya di India untuk tiga tahun berturut-turut dengan kekayaan bernilai AS$27 bilion (RM83.2 bilion), petik majalah Forbes India.

Bilionair itu diekori rapat pengasas syarikat keluli terkemuka yang berpusat di London, Lakshmi Mittal dengan kekayaan bernilai AS$26.1 bilion (RM80.4 bilion).

"Jumlah bilionair yang direkodkan belum lagi menunjukkan petanda jelas betapa seriusnya peningkatan itu di India dan China pada dekad mendatang," kata Indrajit Gupta, editor Forbes India.

Menurutnya, usahawan dari India menunjukkan kemampuan mereka memanfaatkan peluang mencipta kekayaan yang tidak pernah berlaku di kalangan masyarakat lain di dunia.

Jurang ekonomi

Peningkatan jumlah bilionair itu terjadi ketika kumpulan antikemiskinan memberi amaran mengenai pelebaran jurang yang berterusan antara golongan kaya dan miskin di negara berpopulasi 1.2 bilion penduduk itu.

Sebahagian daripada 836 juta penduduk India hidup dengan pendapatan kurang daripada 20 rupee (RM1.30) sehari. Dalam satu laporan kerajaan, statistik di India mengenai tahap kesihatan, kematian bayi, nutrisi dan pendapatan adalah lebih buruk daripada mereka yang menetap di sub-Sahara Afrika.

Ketempangan pertumbuhan ekonomi, kes rasuah yang berleluasa dan kelemahan pentadbiran awam, dilihat sebagai pencetus pemberontakan Maoist di daerah miskin negara itu.

Taikun teknologi informasi, Azim Premji yang mengawal syarikat pembekal Wipro, merampas kedudukan tangga ketiga senarai itu dengan kekayaan bernilai AS$17.6 bilion (RM54.24 bilion), menggantikan adik lelaki Ambani, Anil, yang mengetuai telekomunikasi, kewangan dan perniagaan utiliti Reliance.

Anil Ambani, yang baru berdamai dengan abangnya itu selepas perbalahan ekoran pembahagian aset keluarga, jatuh di tempat keenam dengan AS$3.3 bilion (RM10.6 bilion). Kejatuhan saham syarikat telah menyebabkan kekayaannya itu susut sebanyak 24 peratus.

Jumlah kekayaan 40 bilionair terkaya di India ketika ini bernilai AS$243 bilion (RM748 bilion), naik daripada AS$229 bilion (RM705 bilion) tahun lalu. Namun, catatan itu masih belum menghampiri rekod AS$351 bilion (RM1,081 trilion) yang dicatatkan pada pada tahun 2007.

Namun begitu, jumlah kekayaan mereka adalah lebih dua kali ganda daripada kekayaan 40 orang individu terkaya di China tahun lalu, iaitu sebanyak AS$106 bilion (RM326 bilion).

Golongan kaya di India mengalami kerugian besar pada 2008. Ketika itu gabungan kekayaan bersih 40 individu tersebut turun 60 peratus dan hanya 27 individu bergelar bilionair akibat terkena tempias krisis kewangan global.

Kerugian besar membabitkan nilai kekayaan di India pada 2008 pantas menjadi kenangan. Pencapaian itu disokong lonjakan pasaran saham dan pertumbuhan ekonomi hampir sembilan peratus.

Pasangan adik-beradik Shahi dan Ravi Ruia, peneraju Kumpulan Essar yang memegang kepentingan dalam industri besi, penyulingan minyak dan tenaga, berada di tempat keempat dengan kekayaan bernilai AS$15 bilion (RM46.2 bilion), manakala Savitri Jindal, pengerusi Jindal Steel and Power, kekal di tempat kelima dengan kekayaan AS$14.4 bilion (RM44.4 bilion).

Gelombang kedua

Senarai tahun ini juga merupakan isyarat gelombang kedua bagi kapitalis India mengumpul laba besar selepas permulaan yang tidak menentu awal dekad lalu.

Ketika gelombang pertama bilionair dikaitkan dengan perniagaan teknologi maklumat, keluli dan tenaga, gelombang kedua pula dijangka membabitkan syarikat-syarikat gergasi dalam bidang farmasi dan hartanah.

Pencapaian peratusan tertinggi pula diraih Raja Media, Kalanithi Maran, pemilik syarikat Sun TV Network, yang mempunyai lebih daripada satu pertiga saham di syarikat penerbangan tambang rendah domestik SpiceJet. Kekayaan bersihnya naik 74 peratus iaitu AS$4 bilion (RM12.4 bilion).

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa individu yang terjejas. Raja Hartanah, Kushal Pal Singh, pemilik DLF yang sarat dengan hutang, kehilangan hampir satu pertiga daripada kekayaannya. - AFP

Petikan : Kosmo Online

Friday, October 1, 2010

26 Keluarga Orang Asli Dapat RM5.9j

SHAH ALAM: Dua puluh enam keluarga Orang Asli suku Temuan akhirnya menerima pampasan masing-masing selepas 15 tahun menunggu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad memutuskan semalam, kira-kira RM5.9 juta akan diberikan kepada Amanah Saham Nasional Bumiputera (ASNB) sebelum dibahagikan kepada setiap keluarga terbabit mengikut bahagian masing-masing. Baki RM543,400 akan diberikan kepada Orang Asli Temuan, termasuk pembinaan balai adat baru (RM95,200), tabung amanah untuk generasi warisan (RM307,300), sagu hati untuk tapak rumah (RM97,500) dan duit tabung Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) berjumlah RM43,400. Semua mereka memperoleh pampasan RM6.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tanah adat yang diambil bagi membina lebuh raya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, pada 1995. Terdahulu, Nurchaya dalam penghakimannya menasihati Orang Asli Temuan menyimpan wang pampasan bagi mengelak habis digunakan. “Kita bukan nak tahan duit kamu tetapi kamu perlu ingat wang ini bukan untuk diri kamu tetapi ia wang tanah warisan untuk cucu cicit kamu. Apabila dah dapat (wang) nanti jangan belanja sehingga habis. Kalau boleh beli tanah dan melabur. Kalau beli kereta tidak guna,” katanya.

Petikan: MyMetro

Pengasas Syarikat Minuman Tokoh Paling Kaya di China

BEIJING: Pengasas syarikat, Hangzhou Wahaha Group, Zong Qinghou, dinamakan sebagai tokoh terkaya di China dengan nilai harta sebanyak RM32 bilion.Dalam senarai terkini dikeluarkan semalam, nama pemilik syarikat minuman itu berada di kedudukan tertinggi berbanding ke-12 pada tahun lalu.

Menurut Senarai Hartawan Hurun 2010 - dianggap menyamai senarai dikeluarkan Forbes - China juga mungkin menjadi negara paling ramai bilionair di dunia.

Senarai itu diterbitkan sehari selepas pelabur bilionair, Warren Buffett dan pengasas bersama Microsoft Corp, Bill Gates, meraikan berpuluh-puluh hartawan dari China di Beijing.

Mereka mengadakan pertemuan bagi membincangkan rancangan menyalurkan bantuan untuk kebajikan di seluruh dunia.

Baru-baru ini, Zong menyatakan kebimbangannya terhadap golongan hartawan China yang mungkin menghadapi tekanan dari luar untuk berjanji memberi derma. - AP

Petikan: MyMetro