Monday, February 25, 2013

CIMB catat untung bersih RM4.35 bilion

Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih tertingginya sebanyak RM4.35 bilion tahun lalu, naik 7.8 peratus berbanding RM4.03 bilion yang diraihnya pada 2011.

Ia diraihnya daripada pendapatan berjumlah RM13.495 bilion, meningkat 11.3 peratus berbanding RM12.12 bilion pada 2011, didorong peningkatan kukuh pendapatan bukan faedah dan pendapatan faedah bersih.
Keuntungan bersih yang dicatatkannya itu bersamaan pendapatan sesaham (EPS) bersih 58.4 sen serta pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 16.0 peratus.

Berikutan prestasi cemerlang itu, kumpulan perbankan tempatan kedua terbesar itu mengumumkan dividen kedua sebanyak 18.38 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen yang dibayarnya sepanjang tahun lalu sebanyak 23.38 sen sesaham membabitkan sejumlah RM1.7 bilion.

Bagi tempoh suku keempat tahun lalu, kumpulan perbankan itu meraih keuntungan bersih RM1.082 bilion, iaitu 4.5 peratus lebih rendah berbanding RM1.133 bilion pada suku yang sama 2011.

Pendapatannya dalam tempoh itu merosot 0.35 peratus kepada RM3.369 bilion berbanding RM3.381 bilion.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, berkata prestasi kewangan kukuh yang dicatatkan kumpulan perbankan itu pada 2012 itu didorong pertumbuhan pendapatan kukuh dalam semua perniagaannya.
Katanya, pendapatan faedah bersihnya (NIM) berkembang 10.6 peratus sementara pendapatan bukan faedah pula berkembang 12.7 peratus, didorong oleh peningkatan kukuh urus niaga dalam pasaran modal dan peningkatan dalam pasaran perbendaharaan.

“Kami sekali lagi berjaya mencatatkan satu rekod keuntungan bersih. Ia dicapai walaupun tanpa pertumbuhan pinjaman yang agresif dan di sebalik pelaburan dan pelaksanaan perubahan dalaman yang ketara seiring dengan tema CIMB 2.0, untuk mengukuhkan daya saing dalam bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Keuntungan sebelum cukai perbankan pengguna serantau CIMB Group berkembang 23.9 peratus tahun lalu kepada RM2.323 bilion, sementara keuntungan sebelum cukai perbankan borong serantaunya melonjak 23.1 peratus kepada RM2.868 bilion.

Operasi perbankan pengguna kekal penyumbang terbesar kepada keuntungan sebelum cukainya iaitu sebanyak 41 peratus.

Sumbangan operasi perbendaharaan dan pasaran pula meningkat kepada 24 peratus daripada 18 peratus, sementara perbankan korporat, perbankan pelaburan serta pelaburan masing-masing menyumbang 21 peratus, lima peratus dan sembilan peratus.

Bagi operasi luar negaranya, keuntungan sebelum cukai CIMB Niaga meningkat 31.8 peratus kepada 5.787 trilion rupiah, sementara CIMB Thai meraih keuntungan sebelum cukai 1.668 bilion baht, meningkat 21.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai CIMB Singapore pula melonjak 73.3 peratus kepada RM156 juta.

Petikan: Berita Harian Online 26 Februari 2013

Tuesday, February 5, 2013

Dividen KWSP Lebih 6 Peratus

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen lebih enam peratus untuk kira-kira 8.3 juta pencarumnya bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Kali terakhir KWSP mengumumkan dividen lebih enam peratus adalah pada 1999, iaitu 6.84 peratus.
Tahun lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 2011, iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun, berbanding 5.8 peratus (2010) dan 5.65 peratus (2009).

Bayaran keseluruhan dividen bagi 2011 adalah sebanyak RM24.27 bilion, berbanding RM21.61 bilion pada 2010, peningkatan 13.23 peratus.

Pengurus dana pencen itu dijangka mengumumkan dividen dan keputusan kewangan 2012, minggu ini.

Sumber memberitahu BH, dividen tinggi itu berikutan suasana kewangan dan ekonomi yang semakin baik sepanjang 2012.

Disember lalu, akhbar melaporkan KWSP meraih pendapatan sebanyak RM7.02 bilion bagi tempoh suku ketiga tahun lalu, naik 3.24 peratus daripada RM6.80 bilion yang diraih dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Julai hingga September itu, pendapatan daripada pelaburan KWSP dalam portfolio pinjaman dan bon meningkat 65.64 peratus kepada RM3.06 bilion daripada hanya RM1.85 bilion (2011).

Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata di sebalik persekitaran yang mencabar dalam tempoh itu, pinjaman dan bon berjaya menghasilkan pulangan yang luar biasa berikutan beberapa transaksi taktikal pasaran modal, sekali gus mengatasi pelaburan dalam portfolio lain dalam tempoh sama.

Sementara itu, difahamkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan pertemuan hampir tiga jam dengan pengurusan KWSP, semalam, bagi membincangkan pelbagai perkara membabitkan pekerja swasta.

Petikan : Berita Harian Online | 6 Februari 2013