Tuesday, July 9, 2013

Dewan Rakyat: Kenaikan Tarif Elektrik Ikut Kos Bahan Api

Kerajaan akan memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik bergantung kepada kenaikan kos bahan api dan bukannya untuk memberi keuntungan tambahan kepada syarikat utiliti.

Ia susulan pelaksanaan mekanisme Fuel-Cost Pass Through (FCPT) yang membolehkan syarikat utiliti menyalurkan secara terus sebarang kenaikan kos bahan api kepada pengguna.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata sebarang penetapan kos juga perlu mendapat persetujuan kerajaan bagi mengambil kira beban pengguna.
"
Sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga (bahan api), sudah tentulah semakan tarif, tidak dapat dielakkan kerana gas adalah bahan api utama dalam penjanaan elektrik” Maximus Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Katanya, ketika ini PETRONAS menetapkan harga gas bagi menjana elektrik RM13.70MMBtu, jauh lebih rendah daripada RM40MMBtu harga pasaran bagi memastikan kadar runcit tenaga lebih rendah.

Bahan api utama

“Sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga (bahan api), sudah tentulah semakan tarif, tidak dapat dielakkan kerana gas adalah bahan api utama dalam penjanaan elektrik.

“Sebarang perubahan harga bahan api akan disamakan (ditampung) kepada TNB dan TNB dibenarkan melepaskan kos itu kepada pengguna melalui prinsip FCPT.
“Ini bermakna kenaikan tarif elektrik bergantung kepada kenaikan kos bahan api dan bukan untuk memberi keuntungan tambahan kepada TNB,” katanya ketika menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini semalam.

FCPT adalah mekanisme di bawah Kawalselia Berdasarkan Insentif (IBR) Suruhanjaya Tenaga dalam meningkatkan kecekapan operasi syarikat utiliti, dengan syarikat terbabit akan menerima insentif atau dikenakan penalti, sekiranya gagal mencapai prestasi ditetapkan.

Maximus berkata, melalui FCPT pengguna elektrik 200Kwh sebulan akan kekal pada kadar 21.8 sen setiap kilowatt.

Beliau berkata, mereka yang menggunakan elektrik kurang 92Kwh sebulan atau kurang RM20 sebulan, akan terus diberi rebet.

Petikan : Berita Harian Online, 10 Julai 2013