Thursday, March 22, 2012

Dividen ASM 6.50 sen

LEBIH 540,000 pelabur Amanah Saham Malaysia (ASM) dengan jumlah 12.62 bilion unit akan menerima durian runtuh menerusi agihan pendapatan tahunan sebanyak 6.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini berbanding 6.38 sen seunit pada tahun lalu.

Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang pada 1 April ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan RM820.24 juta iaitu peningkatan sebanyak 8.6 peratus berbanding RM755.05 juta pada tahun lalu.

“Sehingga 21 Mac lalu, tabung ASM memperoleh pendapatan kasar RM978.32 juta dengan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam beberapa syarikat menyumbang 79 peratus kepada jumlah pendapatan kasar yang dicatatkan,” katanya selepas pengumuman pengagihan pendapatan ASM bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2012 di Kuala Lumpur, semalam yang turut dihadiri Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Majlis sama turut menyaksikan pengumuman agihan pendapatan bagi tabung di bawah Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Persaraan dan ASG-Kesihatan.

Pemegang unit ASG-Pendidikan akan menerima agihan pendapatan 7 sen seunit, ASG-Persaraan (7.05 seunit) dan ASG-Kesihatan (7.10 sen seunit).

Menurutnya, kadar agihan yang ditetapkan jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu, masing-masing pada kadar 5.60 sen seunit, 5.10 sen seunit dan 6.10 sen seunit.

“Prestasi yang ditunjukkan ASG adalah lebih baik berbanding ASM dan ia membabitkan faktor saiz pelaburan.

“Malah, kami juga turut membuat beberapa persiapan tertentu dalam memastikan pelaburan yang dibuat dapat memberi pulangan kompetitif setiap tahun,” katanya.

ASG adalah dana harga berubah-ubah dan setiap pelabur dibenarkan melanggan unit dalam ketiga-tiga tabung tanpa had.

Malah, pemegang unit yang melanggan melalui skim pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pendapatan agihan masing-masing akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP berkenaan.

Petikan: myMetro Online

No comments:

Post a Comment