Monday, April 9, 2012

Dividen AHB 3.25 Sen Seunit

PELABURAN Hartanah Bhd (PHB), anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan Mayban Investment Management Sdn Bhd, mengumumkan agihan pendapatan interim 3.25 sen seunit membabitkan pembayaran berjumlah RM32 juta kepada pemegang unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mayban Investment Management, Nor Azamin Salleh berkata, tahun lalu pihaknya membayar dividen sebanyak RM50 juta iaitu membabitkan RM19 juta bagi pendapatan pertama dan pendapatan kedua sebanyak RM31 juta.

“Ini adalah agihan pendapatan ketiga dibuat kepada 52,000 pemegang unit amanah AHB. Agihan pendapatan dibuat setiap enam bulan sekali bagi tempoh berakhir 31 Mac dan 30 September setiap tahun serta dikecualikan daripada cukai.

“Pembayaran untuk kali ini akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 10 April 2012 (hari ini),” katanya ketika mengumumkan pembayaran dividen AHB bagi enam bulan berakhir 31 Mac 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk memperbanyakkan pemilikan hartanah di seluruh negara.

Katanya, PHB sentiasa mempunyai perancangan mengembangkan saiz dana sebagai usaha berterusan memupuk kesaksamaan dalam pemilikan Bumiputera membabitkan hartanah komersial utama negara.

“Ketika ini, kami mempunyai lapan hartanah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion dan kami akan mengumumkan beberapa pelaburan baru apabila masanya tiba nanti. Selain hartanah runcit dan pejabat, kami turut berminat melabur dalam pemilikan tanah,” katanya.

No comments:

Post a Comment