Friday, September 3, 2010

Lebih 600,000 Kenderaan Akan Berada Di Kelantan Semasa Raya

JELI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjangka lebih 600,000 kenderaan akan memenuhi jalan raya di negeri itu serta bakal menimbulkan masalah kesesakan di jalan utama semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pengarahnya, Abdul Ghani Che Kassim, berkata anggaran itu berdasarkan jumlah kemasukan kenderaan luar serta jumlah kenderaan yang didaftarkan di Kelantan.

"JPJ merekodkan 600,000 kenderaan didaftarkan di negeri ini. Kita menjangkakan penambahan 30 peratus hingga ke 40 peratus kenderaan dari luar. Ia akan menyebabkan kesesakan jalan raya di negeri ini terutama apabila hampir musim raya ini," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, pihaknya menempatkan 150 anggota penguatkuasa untuk mengawal dan meronda kawasan berisiko tinggi kemalangan di sepanjang Jalan Kuala Krai-Gua Musang pada musim perayaan ini.

Katanya, gerakan itu dijalankan serentak dengan Ops Sikap ke-22 yang bermula hari ini hingga 19 September.

Beliau berkata, antara kawasan tumpuan gerakan ialah di 13 lokasi yang telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan serta dikenali "jalan sakratulmaut".

"Kami akan meletakkan anggota penguatkuasa berkawal dan membuat rondaan 24 jam di sepanjang jalan terbabit
pada musim perayaan ini," katanya. - BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online 3 September 2010

No comments:

Post a Comment