Friday, September 24, 2010

AS 1 Malaysia

Kelmarin diumumkan agihan sulung Amanah Saham 1 Malaysia oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman iaitu sebanyak 6.38 sen seunit. Seperti yang dilaporkan, dividen sulung yang diumumkan ini menggambarkan dana ini mengatasi prestasi penanda aras semasa dan setimpal untuk mendapatkan pulangan yang berdaya saing seperti dana lain.

Sejauh manakah kaum bumiputera amnya kaum melayu mengambil kesempatan ke atas pelaburan ini kerana kuota sebanyak 50 peratus untuk kaum bumiputera masih belum dipenuhi. Keadaan ini menunjukkan kesedaran melabur bagi kaum bumiputera masih kecil dan keadaan seperti ini perlu diatasi segera. Sebaliknya, kaum bukan bumiputera berlumba-lumba melabur setiap kali peluang ini dibuka kepada mereka dan mereka melanggan sehingga habis.

Tidak kiralah sama ada AS 1 Malaysia atau amanah lain. Tahap kesedaran yang lemah ini menunjukkan ilmu pengetahuan tentang pelaburan masih rendah dalam kalangan pelabur bumiputera. Mereka lebih gemar melabur dalam skim-skim seperti skim cepat kaya dan sebagainya yang menjanjikan pulangan lebih lumayan. Namun ada kalanya mereka tertipu sehingga mengakibatkan kerugian kerana sifat yang tamak.

Untuk mendapat kesedaran bukanlah mudah kerana masyarakat kita masih kurang minat untuk membaca dan mendapatkan ilmu tentang pelaburan. Selain itu, gaya hidup yang mewah menyebabkan mereka suka untuk menghabiskan wang untuk memenuhi tuntutan nafsu.

Apapun terpulang kepada pandangan masing-masing. Ambillah peluang yang disediakan oleh kerajaan. Rugi sekiranya suka mengambil sikap tunggu dan lihat. Bermulalah melabur dari awal kerana melabur tidak semestinya bermula dengan wang yang banyak. Bak kata orang, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Sekian.

No comments:

Post a Comment