Wednesday, August 28, 2013

ASW 2020 Umum Agihan Pendapatan 6.70 Sen Seunit

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.70 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan tahun lalu.

Kadar agihan ini juga adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun (2012 : 6.60 sen seunit; 2011 : 6.50 sen seunit; 2010 : 6.35 sen seunit dan 2009 : 6.30 sen seunit).

Kadar pengagihan pendapatan tersebut membabitkan pembayaran berjumlah RM1.062 bilion, peningkatan sebanyak 9.2% berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelumnya yang berjumlah RM973.16 juta.
Pengagihan pendapatan ini akan dapat dimanfaatkan oleh seramai 899,967 pemegang unit yang telah melanggan 15.8 bilion unit ASW 2020.

Sehingga 25 Ogos 2013, ASW 2020 telah memperolehi pendapatan kasar berjumlah RM1.280 bilion. Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM624.46 juta atau 48.8% kepada pendapatan kasar. Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan pula menyumbang sebanyak RM421.18 juta atau 32.9% daripada jumlah pendapatan kasar tersebut manakala pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM234.05 juta atau 18.3% daripada jumlah pendapatan kasar tersebut.

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minima bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020.

Pengagihan pendapatan ASW 2020 akan dilaksanakan melalui pelaburan semula, yang akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan pemegang unit pada 1 September 2013. Semua urus niaga bagi ASW 2020 telah ditangguhkan bermula 25 Ogos 2013 sehingga 1 September 2013 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 September 2013.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW 2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.
Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Oktober 2013.

ASW 2020 merupakan dana berharga tetap di mana 51% daripada saiz yang dibenarkan adalah dibuka kepada masyarakat Bumiputera manakala 49% dibuka kepada masyarakat bukan Bumiputera. Pelaburan di dalam ASW 2020 dibuka kepada warganegara Malaysia berumur seawal 6 enam bulan ke atas.

Dikeluarkan oleh:
PERMODALAN NASIONAL BERHAD

No comments:

Post a Comment